Tidak akan dibuat terburu-buru

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Pelantikan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kelapan Malaysia tidak akan dibuat secara terburu-buru, menurut isterinya yang telah dinamakan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Presiden PKR itu berkata ia akan dijalankan mengikut perancangan asal iaitu pada pertengahan penggal di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan.

“Buat masa ini kita mahukan kerajaan di bawah pimpinan (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad ini berjalan lancar dan kita terima perubahan yang kita inginkan terutama reformasi yang ingin kita ketengahkan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Anwar di Hospital Rehabilitasi Cheras di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan media asing yang memetik Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin sebagai berkata adalah ‘tidak bijak’ untuk tergesa-gesa melantik Anwar sebagai perdana menteri selepas beliau kembali ke Parlimen.

Dalam pada itu, ditanya mengenai status kesihatan Anwar, Dr Wan Azizah yang juga Anggota Parlimen Pandan, berkata suaminya semakin pulih.

Semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz dalam satu kenyataan berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan agar semua prosedur berkaitan prosiding Lembaga Pengampunan Diraja untuk Anwar dimuktamadkan pada Rabu. – Bernama