‘Tidak akan menyerah diri’

SANAA, 8 Nov – Ketua pemberontak Yaman kelmarin berikrar, beliau tidak akan menyerah diri kepada tentera yang disokong Arab Saudi tatkala kumpulan-kumpulan bantuan antarabangsa merayu untuk laluan yang selamat bagi orang awam yang terkandas di Hodeida.

Selepas enam hari bertempur yang menyebabkan 200 pejuang terkorban, tentera pro-kerajaan menghampiri pusat Hodeida, bandar Laut Merah yang dikuasai pejuang Huthi dan dikepung oleh Arab Saudi dan sekutunya.

Kepulan asap kelihatan semalam apabila tentera pro-kerajaan menghampiri tempat perlabuhan dengan berjalan kaki dan juga menggunakan trak.

Kumpulan gabungan yang diketuai Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu telah melancarkan serangan jet pejuang dan Apache untuk melindungi anggota tentera Yaman yang bertempur di darat, beritahu sumber tentera pro-kerajaan kepada AFP.

Dalam ucapan panjang yang disiarkan menerusi televisyen dari lokasi yang tidak diketahui, ketua pemberontak negara itu mengakui bahawa pasukan bersekutu dalam perjalanan menuju ke Hodeida. – AFP