Tidak bayar caruman TAP, syarikat didenda

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Sebuah syarikat telah didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Seri Begawan (BSB), baru-baru ini, kerana gagal membayar caruman dan tidak mendaftarkan empat orang pekerja syarikat tersebut dengan Lembaga Tabung Amanah Pekerja (TAP).

Syarikat Abdul Saman Ahmad Freight Forwarding Sdn Bhd didakwa di bawah Bab 26 Akta Amanah Pekerja (Penggal 167) dan Bab 29 Perintah Amanah Pencen Caruman Tambahan 2009 dan Aturan 6, Aturan-aturan Amanah Pekerja dan Aturan 6 (1), Aturan-aturan Amanah Pencen Caruman Tambahan.

Kes dihadapkan pada 22 Januari lalu di Mahkamah Majistret BSB dan pendakwaan dilakukan oleh pegawai-pegawai pendakwa TAP, Dayang Linda binti Arman Michael Anniah dan Dayang Nurul Siti Diyana binti Abdullah.

Syarikat yang diwakili pengarah syarikatnya telah mengaku bersalah atas 10 pertuduhan gagal mendaftarkan pekerja dan membuat bayaran caruman skim TAP dan SCP.

Syarikat telah dijatuhkan hukuman denda $3,000 yang perlu dibayar dalam tempoh enam bulan dan turut diarahkan membayar kesemua caruman skim TAP dan SCP yang tertunggak berserta dividennya.