Pelakon dan penyanyi, Fazura baru-baru ini meluahkan menerusi media sosialnya seolah-olah ‘menjawab’ pelawaan selebriti dan usahawan, Neelofa untuk berdamai selepas dikatakan dingin selama belasan tahun.
“Sama juga seperti orang lain, saya berhak menentukan dengan siapa saya sesuai berkawan. Tidak berkawan, tidak semestinya memusuhi,” seperti yang dilaporkan dalam Utusan Malaysia yang memetik kata-kata artis itu menerusi akaun media sosialnya.
Fazura atau nama penuhnya, Nur Fazura Sharifuddin berkata, agenda yang tular kononnya dia sedang perang dingin dengan individu berkenaan adalah tidak benar dan tidak pasti mengapa digembar-gemburkan.
“Naratif ‘perang dingin’ yang digembar-gemburkan adalah tidak betul dan tidak pasti apa niatnya. Tiada niat untuk membuka aib sesiapa tetapi jika dibiarkan, perkara tidak betul yang akan tumbuh akan terus melata.
“Dalam saya sibuk menguruskan kehidupan sendiri serta keluarga dan rancangan kerjaya, muncul lagi anasir yang tidak jemu menangguk di air yang keruh.
“Saya berhak menentukan dengan siapa saya berkawan. Kini dengan izin suami, dengan siapa saya wajar berkawan juga wajib diberikan keutamaan,” katanya.
Dalam hantaran sama, pelakon Hero Seorang Cinderella itu turut menyertakan rakaman wawancara bersama rakan media yang berlangsung baru-baru ini.
Tambah Fazura, dia hanya menjawab soalan yang diajukan oleh rakan media dan tiada sebarang agenda lain selain hanya menyantuni persoalan yang dilayangkan.
“Respons saya adalah kepada soalan berkenaan perkara yang telah ditularkan oleh para peminat tegar individu lain tetapi sekarang digambarkan seolah-olah saya yang memulakannya.
“Untuk apa? Tiada sebab dan keuntungan untuk saya memulakan sesuatu yang tidak produktif,” ujarnya. – Agensi