Tidak bervaksin cetus lumpuh

HAJJAH, YAMAN – Di daerah-daerah yang dikepung di wilayah Hajjah di utara Yaman, seramai 11,350 kanak-kanak tidak diberi vaksin selama lebih tiga tahun untuk melawan penyakit yang dapat dicegah, menurut pihak berkuasa kesihatan setempat.

Amani yang berusia tiga tahun merupakan salah seorang daripadanya.

“Anak perempuan saya berisiko dijangkiti. Dia belum mendapat vaksin polio atau vaksin lain sejak dilahirkan dan saya bimbang akan kesihatannya,” kata Abdullah Fayed kepada Xinhua di daerah Hayran utara.

“Tidak ada pekerjaan, tidak ada makanan, tidak ada ubat, dan ketakutan menyelubungi kami,” tambahnya.

Keluarga Fayed merupakan salah sebuah keluarga yang menderita akibat perang dan melarikan diri ke kem pelarian berhampiran sempadan Saudi. Ketika keluarga tersebut kembali tahun ini ke kampung asal di Hayran, mereka mendapati rumah mereka sudah musnah akibat perang.

Kelihatan beberapa orang kanak-kanak di penempatan sementara di Daerah Midi, wilayah Hajah, utara Yaman. – Xinhua

Yaman terlibat dalam perang saudara sejak akhir tahun 2014 ketika militan Houthi disokong Iran merampas kawalan beberapa wilayah utara dan memaksa kerajaan Presiden Abd-Rabbu Mansour Hadi yang diiktiraf secara antarabangsa keluar dari ibu kota Sanaa.

Peperangan telah mengorbankan puluhan ribu orang, mengakibatkan empat juta hilang tempat tinggal dan mendorong orang Yaman ke ambang kebuluran. Seorang lagi warga Yaman, Ali Abdo, mengadu anak perempuannya Siham belum mendapat vaksinasi sejak dia dilahirkan tiga tahun lalu.

Dr. Tariq Miswak Hibah, pengarah pejabat kesihatan di daerah Hayran, mengatakan kepada Xinhua “sekitar 2,450 kanak-kanak berusia di bawah satu tahun dan 8,900 kanak-kanak di bawah umur lima tahun di daerah utara yang dikuasai kerajaan belum menerima apa-apa jenis vaksin, termasuk vaksin polio, selama lebih dari tiga tahun.“

“Ramai ibu mengandung juga berisiko tidak mendapat rawatan kesihatan kerana kekurangan pasukan perubatan dan vaksinasi,” katanya.

“Saya merayu kepada organisasi kemanusiaan antarabangsa yang be-kerja di Yaman menyelaras dengan Kementerian Kesihatan untuk segera mengirimkan vaksin ke daerah-daerah yang diperangi,” tegas Hibah.

Selain Hayran, kerajaan juga menguasai daerah Laut Merah yang berdekatan, Midi, Haradh dan Abs, yang semua-nya terletak di bahagian utara wilayah Hajjah.

Menurut pejabat kesihatan di Hayran, rata-rata 300 pesakit mengunjungi pusat kesihatan setiap hari di kawasan ini, yang kebanyakannya adalah kanak-kanak dan wanita.

“Vaksinasi polio merupakan salah satu yang paling diperlukan untuk kanak-kanak di daerah ini, serta vaksinasi terhadap diphtheria, campak, hepatitis B, batuk, dan rubela,” kata Dr Mohammed Al-Fahidi di pejabat kesehatan Hayran kepada Xinhua.

Dia mengatakan kekurangan vaksinasi tersebut boleh menyebabkan penyakit serius atau hilang upaya yang kekal. Dr. Mohammed Al-Sharabi, di pejabat kesihatan yang sama, mengatakan sebab utama penyebaran penyakit di daerah ini adalah pencemaran air dan kekurangan zat makanan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), virus polio menyerang sistem saraf kanak-kanak di bawah usia lima tahun dan mampu menyebabkan kelumpuhan kekal dalam beberapa jam. Virus merebak di antara kanak-kanak melalui air dan makanan yang tercemar dan satu daripada 200 jangkitan menyebabkan kelumpuhan pada kaki.

Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menganggarkan dalam laporannya pada bulan Jun bahawa seorang kanak-kanak mati setiap 10 minit di Yaman akibat penyakit yang dapat dicegah oleh vaksin. Menurut laporan itu, UNICEF dan WHO pada bulan Mei memvaksinasi sejumlah 3,791,511 kanak-kanak di bawah usia lima tahun di 14 wilayah dalam tiga hari, merangkumi 89 peratus daripada keseluruhan sasaran kempen vaksinasi. – Xinhua