Tidak boleh pulang tiada kelulusan bebas COVID-19

PUTRAJAYA, 6 APRIL – Rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura tidak boleh pulang selagi tidak mendapat kelulusan bebas daripada COVID-19 yang dikeluarkan kerajaan negara jiran itu, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata itu adalah perjanjian awal antara kedua-dua negara berkenaan yang dipersetujui sebelum ini, iaitu rakyat Malaysia yang bekerja di republik itu perlu menjalani saringan sebelum dibenarkan pulang.

“Ada sedikit perubahan dalam perjanjian itu…kumpulan kerja membabitkan Kementerian Sumber Manusia akan berunding dari segi syarat-syarat tertentu yang baharu. Insya-Allah esok Kementerian Luar akan maklumkan.

“Setakat ini, kita memang tidak benarkan rakyat kita masuk (pulang) ke negara kita,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Khas Kabinet di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media berhubung pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura dijangka mula bergerak balik hari ini, termasuk dengan berjalan kaki merentasi Tambak Johor susulan republik itu mengambil tindakan tegas menutup sekolah dan beberapa sektor bagi menghentikan penularan wabak COVID-19.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata pelarian Rohingya yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis di Langkawi semalam akan menjalani proses kuarantin di Langkawi.

Beliau berkata Kementerian Luar, Jabatan Imigresen dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan dipertanggungjawabkan untuk membantu dan memantau pelarian berkenaan menyelesaikan isu dihadapi mereka.

“Oleh kerana mereka telah pun berada di negara kita, di perairan kita, maka itu jadi tanggungjawab kita untuk menjaga kepentingan mereka, oleh itu mereka akan dikuarantin di Langkawi,” katanya.

Semalam, APMM Kedah dan Perlis menahan sebuah bot yang membawa 202 pendatang asing tanpa izin etnik Rohingya berhampiran pantai sebuah pusat peranginan di Jalan Pantai Kok, Teluk Nibong, Langkawi.

Bot itu yang dipercayai hanyut ditahan di kedudukan 1.2 batu nautika barat daya, kira-kira 8.45 pagi. – Bernama