Tidak cukup bagus – Mourinho

LIVERPOOL, 17 Dis – Jose Mourinho menyatakan bahawa pemain Manchester United tidak cukup bagus untuk menyaingi Liverpool selepas tewas 3-1 di Anfield di tangan pendahulu liga semalam.

Mourinho sebelum perlawanan mendakwa bahawa Liverpool mempunyai nasib yang baik pada musim ini tetapi nasib itu menjelma apabila pemain gantian, Xherdan Shaqiri meledak dua gol 17 minit sebelum tamat perlawanan dan pasukan pelawat kini mencatat kekalahan kelima pada musim ini.

“Para pemain sudah memberikan segalanya dan apabila mereka memberi segalanya, saya tidak kecewa dengan mereka. Saya sentiasa bersikap baik terhadap mereka, mereka beraksi sebanding dengan kualiti mereka, begitu juga dengan pasukan lawan,” menurut Mourinho.

“Mereka (Liverpool) sangat laju, agresif, mantap dari segi fizikal. Mereka beraksi 200 batu sejam apabila membawa bola dan tanpa bola.”

Mourinho juga menyatakan mengenai jumlah pemain yang cedera apabila menggantikan Chris Smalling sebelum perlawanan bermula kerana mengalami kecederaan pada sesi pemanasan badan.

“Kami mempunyai banyak masalah dari segi fizikal,” tambah Mourinho. “Kami mempunyai ramai pemain yang berdepan dengan masalah kecederaan kerana beberapa pemain selalu mengalami kecederaan.”

Bagaimanapun, pengurus dari Portugal itu hanya menerima sedikit simpati apabila dia mengenepikan Paul Pogba di bangku simpanan sementara Fred gagal diserapkan ke dalam skuad.

Dengan keputusan semalam, Liverpool kembali merampas kedudukan teratas liga dan mengatasi Manchester City. – AFP