Tidak dibenarkan guna tandas tanpa pas COVID

THE HAGUE, 21 SEPT – Pengunjung kafe di Belanda tidak diwajibkan menunjukkan ‘pas COVID’ apabila makan di luar restoran di teres, tetapi diwajibkan berbuat demikian apabila menggunakan tandas, kata menteri kesihatan negara semalam.

Belanda pada minggu lalu melonggarkan sekatan koronavirus termasuk menamatkan penjarakan sosial, tetapi berkata ia akan memperkenalkan pas baharu untuk restoran, bar dan festival.

Langkah baharu itu yang dilancarkan pada Sabtu, diluluskan oleh parlimen tetapi ahli parlimen memaksa kekecualian peraturan untuk mereka yang ingin memakan atau meminum di luar, berkata peluang mendapat jangkitan adalah lebih rendah.

“Namun ‘sekiranya anda mahu menggunakan tandas, anda perlu menunjukkan kod QR,” penyiar awam NOS memetik Menteri Kesihatan Hugo de Jonge sebagai berkata.

Jika diimbas, pas itu menunjukkan bukti vaksinasi, telah sembuh daripada virus atau ujian negatif dan diwajibkan untuk semua orang berusia 13 tahun ke atas.

De Jonge mengaku ia tidak praktikal, tetapi ‘kami mematuhi keputusan yang dibuat oleh Parlimen,’ katanya.

“Anda juga boleh meletakkan Portaloo bersebelahan dengan teres,” tambah De Jonge, merujuk kepada kabin bergerak dengan tandas.

Minggu lalu, Perdana Menteri Belanda Mark Rutte berkata adalah tidak bijak untuk membuat kekecualian bagi pengunjung yang duduk di luar, kerana orang pastinya perlu masuk ke restoran untuk membayar bil atau pergi ke tandas.

“Mungkin juga hujan turun di luar dan semua orang mahu masuk ke dalam,” kata Rutte. – AFP