Tidak jual hadiah peminat

Pelbagai cara dilakukan mereka yang tidak bertanggungjawab untuk menjatuhkan reputasi artis Korea Selatan termasuk penyanyi, Kang Sung Hoon.

Bekas anggota SECHSKIES itu baru-baru ini difitnah menjual hadiah barangan berjenama yang diberikan peminat di platform beli-belah online. Lebih mengeruhkan keadaan, nombor telefon yang digunakan untuk tujuan itu sama dengan nombor teman wanitanya.

Berikutan khabar angin itu, ramai peminat marah dan mengecam Kang Sung Hoon.

Macam-macam kritikan pedas telah dilemparkan terhadapnya termasuk tidak menghargai pemberian daripada peminat, tak mengenang jasa dan dianggap seperti kacang lupakan kulit.

Bagaimanapun, Kang Sung Hoon tampil mendedahkan kebenaran dan mengakui terkejut dengan tuduhan terbabit. Menurutnya, dia tidak pernah menjual hadiah yang diterimanya dan meminta maaf kepada peminat.

“Saya tidak pernah menjual hadiah daripada peminat. Beberapa bulan lalu, saya sudah tamatkan hubungan dengan individu berkenaan yang dikaitkan dengan saya. Ia termasuk hubungan perniagaan mahupun bantuan peribadi,” katanya.

Kenyataan Kang Sung Hoon itu merujuk kepada bekas teman wanita yang juga penata riasnya sebelum ini. Katanya, peminat mungkin salah faham dan mempercayai tuduhan tidak berasas itu.

“Selepas kami putus, saya menerima kembali semua barangan dalam simpanannya yang diperlukan untuk memudahkan kerja saya. Insiden itu berlaku sewaktu dia dalam proses menjual barangan peribadinya sebelum saya mengetahui berita berkenaan.

“Peminat mungkin salah faham terhadap barang yang dijualnya dan barangan saya,” katanya.

Disebabkan itu, Kang Sung Hoon seboleh-bolehnya tidak mahu mengeruhkan keadaan dan berharap peminat memaafkannya. – Agensi

Kang Sung Hoon tidak pernah menjual hadiah daripada peminatnya. – Agensi