Tidak jujur, lelaki tempatan diarah bayar $2,500

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Mahkamah Majistret di sini, hari ini, mengarahkan seorang lelaki tempatan membayar denda $2,500 atau berdepan hukuman penjara tiga bulan setelah disabit bersalah dalam perbicaraan yang melibatkan ketidakjujuran penyelewengan harta benda.

Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman mendapati bahawa pembelaan Haji Farezal bin Haji Mohd Yusop hanyalah pembohongan meskipun tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

Mahkamah mendapati berpandukan bukti yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Syafina Abdul Hadzid, pada 12 Mac 2020, mangsa telah tertinggal telefon bimbit di Teratak Ayahanda di RPN Kampung Panaga.

Apabila mangsa dan teman lelakinya kembali ke kedai tersebut untuk mengambil telefonnya yang tertinggal, tertuduh yang juga pemilik kedai tersebut menyatakan bahawa dia tidak melihat sebarang telefon.

Ketika mangsa dan teman lelakinya menanyakan kembali kepada tertuduh, dia tetap mengulangi dan menyatakan ketidaktahuannya.

Tertuduh turut tidak membantu mereka untuk mencari telefon bimbit mereka. Walau bagaimanapun setelah mangsa menggunakan aplikasi Google App yang dikenali sebagai ‘Find My Android’ untuk mencari telefonnya, mereka mendapati telefon bimbitnya masih berada di kawasan kedai tertuduh dan apabila mangsa membuat panggilan telefon menggunakan aplikasi tersebut bunyi deringan terdengar dari arah tertuduh.

Apabila perkara tersebut terjadi, tertuduh berpura-pura bahawa bunyi deringan tersebut datang daripada telefonnya sendiri dengan mengeluarkan telefon bimbitnya sendiri.
Hanya apabila mangsa meminta tertuduh untuk memeriksa sakunya yang lain tertuduh akhirnya mengembalikan telefon bimbit mangsa.