Thursday, April 18, 2024
28.5 C
Brunei

    -

    Tidak ketinggalan rakam ucapan takziah

    Oleh Sim Y. H. dan Daniel Lim

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam tidak ketinggalan untuk turut merakamkan perasaan sedih serta menyatakan perasaan takziah dengan kemangkatan Baginda Ratu Elizabeth II pada 8 September.

    Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama John Virgoe dalam kenyataannya menyatakan kemangkatan Ratu Elizabeth II merupakan saat yang penuh dengan kesedihan dan kehilangan.

    Ratu Elizabeth II amat dikenali dengan rasa tanggungjawab dan pengabdian kehidupannya untuk berkhidmat serta merupakan tokoh penting bagi United Kingdom (UK), dan Komanwel semasa tempoh perubahan sosial yang amat besar.

    “Tiada siapa yang berbuat lebih untuk mengukuhkan ikatan persahabatan, kefahaman dan hormat di antara UK dan seluruh dunia, termasuk Negara Brunei Darussalam.”

    TYT John Virgoe menyatakan Ratu Elizabeth II amat dihormati di Negara Brunei Darussalam dan pemergiannya amat dirasai ramai.

    “Kehilangan ini dirasai amat mendalam oleh komuniti British. Bagi kebanyakan kami, termasuk saya sendiri, beliau merupakan satu-satunya kepala negara yang pernah kami kenali.

    “Walaupun juah dari tanah air, kami akan bersama-sama dengan seluruh negara berkabung atas kemangkatannya,” ujarnya.

    Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam turut mengumumkan suruhanjaya tinggi berkenaan akan membuka buku takziah bagi orang ramai yang berkeinginan untuk menyampaikan ucapan takziah mereka.

    Buku takziah itu akan ditempatkan di Pejabat Suruhanjaya Tinggi British di Tingkat 2, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di ibu negara dan akan dibukakan bermula 12 hingga 17 September dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari.

    Orang awam juga boleh memberi penghormatan menggunakan kemudahan takziah atas talian di www.royal.uk bagi ucapan takziah.

    Sementara itu, perasaan sedih turut dirasai penduduk asing yang menetap di Belait. Seorang warga Australia Cindy bin Tahal, mengongsikan generasinya telah membesar menyanyi lagu kebangsaan Britain God Save the Queen dan Baginda adalah seorang wanita yang tabah dan amat berdedikasi dalam mengabadikan hidupnya berkhidmat kepada rakyat dan negara.

    Pemergian Baginda akan terasa di seluruh dunia.

    Begitu juga, Hayley Hammond, seorang rakyat British yang menetap di Brunei, juga menyampaikan ucapan takziah, sambil berkata, “Berita kemangkatan itu amat mengejutkan.

    Ratu Elizabeth II sentiasa kekal dalam ingatan kami sebagai raja berperlembagaan yang berhati mulia. Semoga rohnya bersemadi dengan aman.”

    Seorang lagi bekas penduduk dari Windsow, Berkshire, yang kini menetap di Brunei, Danniele Cairns juga meluahkan kesedihannya.

    “Hari ini amat menyedihkan. Pengaruh Ratu Elizabeth II dan pendekatannya yang tegas telah membimbing rakyat Great Britain dalam setiap aspek kehidupan.

    “Ramai dalam komuniti ekspatriat seperti saya, yang berada jauh dari negara asal berasa amat terharu dengan sokongan yang diberikan oleh negara hos dan rakan luar negara. Doa kami bersama keluarga Baginda pada masa yang sukar ini.”

    Manakala Andrew Hampson, juga warga Britain yang bekerja dalam industri minyak dan gas di Brunei, merakamkan penghargaan atas kemajuan yang dicatat Ratu Elizabeth II bukan sahaja di UK tetapi juga di seluruh dunia.

    “Terima kasih atas khidmat Baginda, kerana menunjukkan kepada kami makna tugas dan sentiasa mengutamakan negara. Tidak akan adanya seorang pengganti yang amat berdedikasi seperti Baginda.”

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Utusan AS ke PBB berikrar sokong keluarga Jepun yang diculik Korea...

    TOKYO, 18 APRIL - Amerika Syarikat (AS) berdiri bersama Jepun sehingga semua warga Jepun yang diculik oleh Korea Utara beberapa dekad lalu pulang ke...