Tidak mahu ikut telunjuk orang

Penyanyi yang pernah mencetus fenomena bersama kumpulan Boboy, Naqiu (gambar bawah) mengakui, pernah kecewa dengan industri muzik, membuatkan dia berat hati untuk kembali bergiat aktif.

Katanya, selepas kontrak bersama syarikat rakaman terdahulu berakhir, perjalanan kerjaya seni Boboy bagaikan terumbang-ambing sehingga semangatnya untuk terus bertahan dalam industri muzik terhakis. Naqiu atau nama lengkapnya Wan Naqiuddin Mohd Najib berkata, selama 12 tahun menyepi, hatinya tidak pernah terlintas untuk kembali bersaing dalam arus muzik perdana.

“Memang banyak pihak mencadangkan supaya saya kembali bersaing, termasuk menyertai Gegar Vaganza (GV). Cuma, hati saya belum terbuka, terutama apabila memikirkan apakah ia tempat yang sesuai untuk saya kembali menggilap bakat. Selepas berkahwin, saya anggap era sebagai penyanyi komersial sudah berakhir dan fokus saya hanya menyanyi di kelab malam. Tidak sangka penyertaan dalam GV6 mengubah perjalanan hidup saya,” katanya.

Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, dia bagaikan berhadapan dengan ‘kejutan budaya’ apabila tiba-tiba meraih populariti dan setiap langkahnya menjadi perhatian. – Agensi