Tidak mahu pegang watak ‘tua’

Pelakon Rita Rudaini, tidak kisah sekiranya tawaran lakonan berkurangan apabila menolak untuk membawakan watak wanita berusia atau ibu yang mempunyai anak dewasa.

Rita, 43, berkata, dia bukan berlagak ‘diva’ apabila enggan menjayakan watak sedemikian, sebaliknya mahu drama lakonannya realistik di mata penonton.

“Memang ada produksi yang menawarkan saya membawa watak wanita berusia, tetapi saya terpaksa tolak. Bukan berlagak atau bersikap ‘demanding’, tetapi bagi saya, ia tidak logik. Saya tidak mahu apabila melihat lakonan sendiri di skrin, ia kelihatan tidak rea-listik. Jadi, lebih baik saya tolak daripada melakonkan watak sedemikian,” kata Rita, yang mengakui terpaksa bersikap selektif sebelum menerima sesuatu tawaran.

Rita berkata, pendirian itu sudah lama dipegang, malah dia berhati-hati memilih tawaran kerana enggan diberikan karakter stereotaip. Justeru, setiap kali menerima tawaran, Rita akan terlebih dahulu meneliti sinopsis, pengarah dan barisan pelakon yang menjayakan sesuatu produksi sebelum memberikan kata persetujuan.

Rita berkata, pada usianya sekarang, dia tidak mahu terlalu bergantung kepada tawaran berlakon, sebaliknya turut mempelbagaikan pendapatan dengan mengusahakan perniagaan.

“Saya kini kembali aktif menumpukan perhatian pada perniagaan produk kecantikan. Sebelum ini, saya pernah menjual minyak wangi, tetapi apabila melihat ia seakan-akan menjadi aliran dalam kalangan artis, saya ambil keputusan menghentikan perniagaan itu,” katanya.

Pelakon drama Kutub Utara Kutub Selatan itu sebelum ini pernah mengusahakan restoran Rumah Kueh pada 2016, namun menghentikan operasinya selepas setahun kerana kurang sambutan. – Agensi

Pelakon drama Kutub Utara Kutub Selatan itu sebelum ini pernah mengusahakan restoran Rumah Kueh pada 2016, namun menghentikan operasinya selepas setahun kerana kurang sambutan. – Agensi