Tidak mahu sekadar ‘jaguh kampung’

KUALA LUMPUR, 24 JULAI – Sudah tiba masa untuk petinju Malaysia keluar dari tanggapan ‘jaguh kampung’ dan membuktikan kemampuan mereka di peringkat lebih tinggi seperti di pentas Sukan Asia, Sukan Komanwel dan tidak mustahil ke Olimpik, kata Timbalan Presiden Persatuan Tinju Malaysia (PTM) Mohd Iruan Zulkifli.

Malah, beliau berkata ketetapan yang dibuat oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) agar menghantar atlet yang benar-benar mampu menyumbang pingat emas pada Sukan SEA ke-31 di Vietnam, disahut sebagai cabaran untuk PTM mempersiapkan barisan petinju terbaik ke temasya itu tahun depan.

Menurut Mohd Iruan, PTM sedang berusaha membawa jurulatih asing dan memindahkan pusat latihan ke Nilai, Negeri Sembilan yang dilengkapi kemudahan canggih dan moden demi mempersiapkan skuad tinju yang lebih mantap.

“MOM membuat penetapan, hanya atlet yang dapat menyumbang emas sahaja dihantar ke Hanoi.

“Jadi, atlet tinju kena ambil satu iktibar untuk memberikan prestasi terbaik. Kalau mereka rasa hanya hendak jadi jaguh kampung, ia tidak bermakna.

“Sekarang, mereka kena berlatih bersungguh-sungguh demi menjaga maruah negara, mereka mesti menang emas di Hanoi. PTM dan Majlis Sukan Negara (MSN) juga lebih tegas dari segi penyusunan persediaan atlet dan kontrak,” katanya selepas majlis menandatangani kontrak dan perjumpaan bersama atlet serta jurulatih di MSN Keramat, hari ini. – Bernama