Tidak mahu sentuh tentang soal hati

Pada usia 33 tahun, soal cinta bukan lagi menjadi keutamaan Dr Soo Wincci yang selesa hidup sendiri.

Lebih memberi tumpuan kepada pengajian peringkat doktor falsafah kedua dalam bidang produksi artistik di Valencia, Sepanyol, Soo ‘menutup’ sementara pintu hati kepada mana-mana jejaka.

“Seperti saya sanggup meninggalkan dunia glamor demi mengejar ilmu di Sepanyol, samalah juga dalam soal perasaan dan hati. Saya tak perlu bebankan diri dengan soal cinta. Saya percaya kalau ada jodoh, semuanya pasti datang, suatu hari nanti. Keluarga saya tidak memberi tekanan dalam soal ini. Mereka percaya ada benda lain yang perlu saya kejar dan beri keutamaan. Faktor usia juga bukanlah suatu tekanan buat saya untuk memikirkan soal kahwin,” katanya kepada media.

Soo berkata, pengajiannya berbaki antara tiga hingga empat tahun lagi. “Selepas dua tahun menetap di Sepanyol, saya perlu belajar bahasa Sepanyol dengan fasih. Di sini, masyarakat lebih menggunakan bahasa ibunda,” katanya.

Selain itu, tambah Soo, dia mahu merakamkan sebuah lagu Sepanyol pada masa hadapan. “Saya hendak mencuri peluang meneroka pasaran muzik Latin. Acara Anugerah Grammy Latin sangat ‘besar’ di Sepanyol,” katanya. – Agensi

Di kala usia 33 tahun, soal cinta bukan lagi menjadi keutamaan Dr Soo Wincci yang selesa hidup sendiri. – Agensi