‘Tidak peduli nyawa pekerja Afghanistan’

LONDON, 27 OGOS – Ahli politik United Kingdom hari ini mengecam diplomat Britain kerana dilaporkan meninggalkan butiran maklumat kakitangan Afghanistan di sana ketika mereka mengosongkan kawasan kedutaan di Kabul, yang kini dikawal oleh Taliban.

Penemuan itu dibuat ketika United Kingdom (UK) mengakui usaha pemindahannya yang terburu-buru menyebabkan ratusan warga Afghanistan yang layak terpaksa ditinggalkan.

Berita yang ditulis oleh veteran perang, Anthony Loyd dalam akhbar The Times melaporkan bahawa dia menemui dokumen yang tidak dihapuskan mendedahkan butiran maklumat kakitangan Afghanistan dan pemohon pekerjaan ketika melawat kawasan yang dikawal oleh pejuang Taliban.

The Times menghubungi nombor tersebut dan mendapati bahawa beberapa kakitangan masih berada di Afghanistan dan berusaha melarikan diri. Akbar tersebut kemudian menyerahkan butiran maklumat mereka kepada kementerian luar negeri UK meminta agar mereka dipindahkan.

Setiausaha Pertahanan UK, Ben Wallace memberitahu stesen radio LBC bahawa dia mendapat tahu mengenai perkara itu dari laporan muka depan media. “Jelas sekali itu belum cukup baik,” katanya. “Saya rasa perdana menteri akan mengajukan beberapa pertanyaan,” tambahnya

Britain akan melakukan penerbangannya dalam beberapa jam dan kira-kira 800 hingga 1,100 warga Afghanistan yang layak untuk penempatan semula di bawah skim UK ‘tidak berjaya’, kata Wallace.

Tom Tugendhat, ketua Jawatankuasa Pilihan Luar Negeri, berkata dalam Twitternya bahawa jawatankuasa itu akan mengadakan siasatan terhadap laporan tersebut.

The Times mengatakan maklumat yang tersebar menunjukkan ‘kakitangan di kedutaan Britain cuai terhadap nyawa pekerja Afghanistan kerana terburu-buru ingin menyelamatkan diri.” – AFP

Gambar fail pada 16 Ogos lalu dari Kementerian Pertahanan UK, penerbangan pertama yang membawa pegawai-pegawai Kedutaan Britain yang dipindahkan tiba dari Kabul di RAF Brize Norton di England. – AP