‘Tidak perlu belanja besar untuk terus berada di puncak’

LONDON, 1 JULAI – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp percaya bahawa dia tidak perlu menghabiskan berjuta-juta di pasaran perpindahan, dengan mengatakan bahawa adalah tugas yang sukar untuk mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pasukan Klopp minggu lalu dinobatkan sebagai juara EPL untuk pertama kalinya dalam 30 tahun dengan berbaki tujuh lagi perlawanan.

Wabak koronavirus, yang membuat EPL ditangguhkan selama tiga bulan, kemungkinan akan memberi kesan pada musim perpindahan bola sepak.

Tetapi Klopp berkata walaupun dia mempunyai saingan besar di dalam liga, menandatangani pemain baharu tidak semestinya mudah atau perkara yang tepat untuk dilakukan.

Kelab ini memutuskan untuk tidak bersaing dengan Chelsea untuk menyambar penyerang RB Leipzig, Timo Werner walaupun dia telah banyak kali dikaitkan dengan perpindahan ke Anfield.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berdiri sebelum perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Liverpool dan Crystal Palace di Stadium Anfield di Liverpool, pada 24 Jun. Klopp percaya tidak perlu berbelanja besar untuk menjadikan pasukannya lebih baik. – AP

Dua pemain Klopp, Xherdan Shaqiri dan Adam Lallana nampaknya akan menjadi antara pemain yang akan meninggalkan kelab.

“COVID-19 tentu saja mempengaruhi kedua-dua belah pihak, itu benar-benar normal dan tidak mungkin ia akan menjadikan musim panas paling sibuk di dunia,” kata Klopp.

“Tetapi mungkin pada akhir tahun ini, jika jendela musim perpindahan masih terbuka, kami akan tahu lebih banyak. Tetapi skuad sekarang ini, lihatlah.

“Bukan skuad yang perlu anda ubah sekarang dan katakan ‘OK, kami memerlukan pemain ini dan pemain ini’.”

Pengurus Liverpool itu mengatakan bahawa dia mempunyai 16 atau 17 pemain kesebelasan utama yang semuanya boleh bermain di tahap yang sama.

“Kita tidak boleh membelanjakan berjuta-juta hanya kerana kita mahu atau kita rasa itu bagus untuk dilakukan,” tambahnya.

“Kami tidak pernah menginginkannya.” Pembelian besar terakhir Klopp adalah pembelian Alisson Becker dengan harga £65 juta (AS80 juta) pada tahun 2018. Sejak itu perbelanjaannya semakin kecil. – AFP