Tidak perlu jumpa doktor sebelum ke pusat vaksinasi

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Setiap pusat vaksinasi yang digunakan sebagai tempat vaksinasi untuk remaja berumur 12 hingga 17 tahun yang akan bermula esok menempatkan doktor yang bertanggungjawab bagi memastikan setiap remaja yang tampil mendapatkan suntikan vaksin tersebut diperbolehkan untuk menerimanya.

Sekiranya ada kalangan remaja yang mempunyai atau menghidap sebarang penyakit, maka mereka hendaklah memaklumkan dan menyatakan penyakit yang mereka hadapi yang mana seterusnya para pegawai bertugas akan merujuk kepada doktor bertugas di pusat vaksinasi itu.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau seterusnya menjelaskan, doktor yang dirujuk kemudian akan memeriksa keadaan dan kondisi kesihatan remaja tersebut sama ada terdapat dalam senarai yang tidak dibenarkan untuk menerima vaksin atau sebaliknya.

Oleh itu, mereka yang mempunyai sebarang keraguan dan mengenai hal yang seumpamanya maka mereka tidak perlu lagi berjumpa doktor seperti sebelumnya dan hanya perlu menghadirkan diri ke pusat vaksinasi yang disediakan sahaja memandangkan telah disediakan doktor yang bertugas di sana.