LIMBANG – Tarikh 1 September 2015 mungkin memberi sedikit makna kepada kebanyakan rakyat Malaysia, tetapi ia merupakan detik kegembiraan kepada penduduk yang tinggal di utara Sarawak yang meliputi bandar raya Miri dan bandar Limbang.
Mungkin, itu adalah hadiah Hari Malaysia terbaik setelah doa mereka bertahun-tahun akhirnya termakbul apabila pengumuman yang ditunggu-tunggu mengenai pelanjutan waktu operasi di sempadan Sarawak-Brunei akhirnya dilaksanakan pada 1 Sept 2015.
Terima kasih kepada kerjasama erat di antara kerajaan Malaysia dan Brunei, kini empat pusat pemeriksaan di sempadan itu beroperasi dari 6 pagi hingga 12 tengah malam sejak 2015 berbanding 6 pagi hingga 10 malam sebelum itu, selepas perbincangan panjang antara kedua-dua negara.
Empat pusat pemeriksaan itu ialah Sungai Tujuh (Miri), Tedungan (Limbang), Pandaruan (Limbang) dan Mengkalap (Lawas).
Ketika berita mengenai operasi yang dilanjutkan itu diumumkan, guru sekolah rendah berasal dari Limbang Ahmad Bakar, 43, merupakan antara penduduk yang gembira dengan berita itu kerana beliau sering menyeberangi sempadan untuk ke bandar Miri atau Kota Kinabalu, Sabah.


Operasi yang lama
“Kecuali pada hari bekerja, agak mustahil untuk perjalanan sehari dari Limbang ke bandar Miri terutama pada hujung minggu berikutan perlu beratur panjang di sempadan Sungai Tujuh (Miri) yang mengambil masa untuk menyeberang selepas selesai proses imigresen,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata masa yang diambil boleh mencecah sehingga lima jam termasuk barisan panjang di pusat pemeriksaan jika memandu dari Limbang ke Miri semasa hujung minggu atau cuti sekolah panjang sempena musim perayaan.
“Sekarang, tidak perlu lagi bergegas balik ke rumah kerana mempunyai masa yang cukup untuk menyeberangi sempadan dengan waktu operasi yang lebih lama,” katanya.
Di samping itu, bapa kepada tiga anak perempuan yang baru sahaja menamatkan pengajian jarak jauh untuk ijazah dari sebuah universiti tempatan berkata beliau juga menanggung kos tambahan untuk membayar hotel di Miri sekiranya ada kuliah di bandar itu.
“Selepas pelanjutan waktu operasi itu, saya tidak perlu bermalam kerana saya boleh memandu balik ke Limbang selepas selesai sesi kuliah, membeli-belah ataupun mendapatkan rawatan perubatan, ia agak menjimatkan,” katanya.
Memberikan manfaat
Bagi Pengerusi Persatuan Melayu Limbang Mohamad Abu Bakar, 65, kesan daripada pelanjutan waktu operasi itu memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi Limbang dan mereka yang memerlukan rawatan perubatan segera.
“Daripada pemerhatian saya, antara kesan positif adalah peningkatan jumlah rakyat Brunei ke bandar Limbang yang mana ia bagus kepada golongan peniaga di Limbang terutama mereka yang tinggal berhampiran sempadan,” katanya.
Menyifatkan Limbang sebagai unik kerana lokasinya terletak di antara sempadan Brunei, beliau berkata sekiranya menaiki kapal terbang dari Limbang ke bandar Miri tambangnya agak mahal walaupun hanya mengambil masa 20 minit.
“Kos untuk satu perjalanan menggunakan penerbangan Maswings dari Limbang ke Miri ialah kira-kira RM176 dan bukan mudah untuk mendapat tempat duduk kerana selalunya penuh, memandu kenderaan sendiri masih alternatif lebih baik khususnya semasa kecemasan perubatan,” katanya.
Oleh itu, beliau berkata mereka yang menghidapi masalah perubatan kronik tidak perlu bimbang kerana ambulans boleh menghantar pesakit ke Hospital Miri secepat mungkin.
Cadangan
“Bagaimanapun, saya berharap kerajaan persekutuan dapat berbincang dengan kerajaan Brunei mengenai kemungkinan membuka sempadan selama 24 jam,” katanya.
Presiden Kehormat Persekutuan Persatuan Lori Sarawak Bruce Chai berkata pelanjutan operasi itu telah mengurangkan kos operasi sektor pengangkutan kerana pemandu tidak perlu lagi bermalam di Brunei atau Limbang apabila membawa barangan.
Chai yang juga Pengerusi Kehormat Persatuan Pemilik Lori Miri mencadangkan pengindahan di pusat pemeriksaan Sungai Tujuh memandangkan lebih daripada tiga juta pengunjung menyeberangi pusat pemeriksaan itu setiap tahun.
Ada lagi berita baik kepada penduduk apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa teknikal bersama untuk menyelesaikan isu birokrasi melibatkan perjalanan darat di antara Malaysia dan Brunei pada 18 Dis tahun lepas.
Najib dipetik sebagai berkata pada masa ini rakyat Brunei dan Malaysia yang berulang-alik antara Sabah-Brunei-Sarawak, pasport mereka perlu dicop sekurang-kurangnya sebanyak 16 kali. – Bernama