Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mei – Negara Brunei Darussalam, sebagaimana yang diketahui rakyat dan penduduknya, telah pun melaksanakan sepenuhnya Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah, 2013 (SPCO) pada 3 April 2019, bertepatan dengan tanggungjawab keagamaan kita di sisi Allah selaku sebuah negara Islam.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan pelaksanaan SPCO itu dalam titah sempena Menyambut Bulan Ramadan bagi Tahun 1440 Hijrah/2019 Masihi dari Istana Nurul Iman malam ini.
“Undang-undang berkenaan adalah semata-mata bertujuan memelihara Maqasid Syariah yang meliputi agama, nyawa, keturunan dan akal. Beta menyedari terdapat bermacam-macam persoalan dan salah tanggapan berikutan perlaksanaan undang-undang berkenaan. Untuk itu, kita telah memberikan penjelasan mengenainya.
“Kita juga menyedari, salah tanggapan memang boleh sahaja menimbulkan pelbagai kegusaran, namun kita juga yakin apabila salah tanggapan itu bertukar jadi kefahaman yang betul, maka apa yang mulanya dianggap buruk, baru akan nampak pula kebaikannya,” tekan Baginda.
Baginda seterusnya bertitah, sesiapapun tidak perlu risau terhadap undang-undang jenayah syariah kerana ia adalah undang-undang yang penuh rahmat, yang datang daripada Pemilik dan Pengurnia Rahmat. Adalah mustahil bagi Pemilik dan Pengurnia Rahmat (Allah) menyuruh kita untuk memakai undang-undang bagi menzalimi manusia, sedangkan undang-undang yang disuruh itu adalah undang-undangNya sendiri.
“Kerana itu, sebagai misalan selama lebih dua dekad, Negara Brunei masih mengamalkan de facto moratorium iaitu penangguhan pelaksanaan hukuman mati bagi kes-kes di bawah common law.
“Ini akan dilaratkan kepada kes-kes di bawah SPCO yang sememangnya menyediakan ruang lebih luas bagi pengampunan hukuman mati,” tegas Baginda.
Baginda turut menekankan, dalam menegakkan komitmen dan tanggungjawab antarabangsa terhadap hak asasi manusia, negara akan mengesahkan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Tentang Penyiksaan (U.N.C.A.T).
“Kedua-dua undang-undang iaitu common law dan syariah, adalah bertujuan untuk memastikan keamanan dan keharmonian negara dan moral serta kesopanan orang ramai akan selamanya terpelihara di samping menghormati privasi setiap individu”, tegas Baginda lagi.
“Maka demi niat suci melaksanakan undang-undang ini, semoga Allah akan memberkati kita dan negara di bawah payung Ramadan yang Mubarak.”
Baginda turut mengucapkan selamat menunaikan ibadat puasa Ramadan kepada rakyat dan penduduk, salah satu Rukun Islam dan semoga kita dikurniakan nikmat kesihatan dan keselamatan sehingga kita dapat menunaikan ibadat puasa Ramadan dalam keadaan penuh ceria dan selesa tahun ini.