Tidak pernah kenal penat dan lelah

Oleh Nurdiyanah R.

Keupayaan golongan wanita hari ini sememangnya tidak boleh dinafikan lagi terutama penglibatan mereka dalam dunia keusahawanan yang semakin mewarnai arena kehidupan masyarakat global yang semakin kompetitif dan penuh cabaran ini.

Namun berbekalkan kecekalan hati, tidak kira mereka yang terdiri daripada suri rumah tangga mahu pun bekerjaya tetap, keberanian mereka dalam mengorak langkah untuk terlibat dalam dunia perniagaan semestinya mampu memberikan inspirasi kepada kita semua untuk meningkatkan prestasi diri dan membantu sosioekonomi dalam kehidupan berkeluarga dan juga bermasyarakat.

“Dunia keusahawanan ini begitu indah jika kita benar-benar menghayatinya. Berbekalkan keyakinan diri dengan berserah kepada Allah SWT. Di samping menerima segala cabaran dan kritikan dengan hati dan minda yang terbuka, itulah prinsip yang sentiasa saya semat dalam diri sepanjang menempuhi pasang surut dalam bidang perniagaan,” itulah antara kata-kata yang diungkapkan oleh salah seorang usahawan wanita tanah air, Hajah Noor Monasalieana @ Suzie binti Haji Mohd Salleh atau lebih senang disapa dengan panggilan Hajah Mona semasa ditemui penulis baru-baru ini.

Mula meniti dunia keusahawanan

Mengimbas detik permulaan meniti dunia keusahawanan, meskipun awal penglibatan Hajah Mona dalam dunia perniagaan ini atas keinginan ayah beliau dan keluarga untuk meneruskan legasi perniagaan keluarga dalam mengusahakan pembuatan keropok berasaskan makanan laut (seafood) di bawah Syarikat Seri Pekatan Sdn Bhd.

Namun lama-kelamaan beliau semakin jatuh cinta dengan dunia perniagaan menerusi pelbagai bidang seperti restoran dan katering, butik dan jahitan dan juga spa serta salon kecantikan. Sehingga kini, beliau merupakan seorang usahawan dan pengurus bagi tujuh buah syarikat tempatan di negara ini.

Hajah Mona bersama tetamu lainnya ketika dijemput berkongsi pengalaman usahawan di hadapan ratusan penonton. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan
Hajah Mona menyarankan kepada golongan muda di negara ini untuk sentiasa bangkit berjuang tanpa berputus asa dalam mencapai impian masing-masing dengan penuh keazaman serta percaya pada diri sendiri. (Gambar serahan Hajah Mona).

“Sekitar tahun 2014, saya mula melibatkan diri dalam pengurusan syarikat perniagaan keluarga sepenuhnya apabila mengambil keputusan meninggalkan karier. Namun, majikan saya memang seorang yang memahami sehingga tiba satu masa, saya perlu benar-benar mula melibatkan diri dalam perniagaan. Apatah lagi dalam keadaan ayah saya semakin berumur.

“Bukan kerana saya sudah tidak ingin bekerja tetapi inilah tanggungjawab yang semestinya saya tanai sebagai anak sulung, lebih-lebih lagi dalam meneruskan dan memperkembangkan perniagaan ayah saya yang telah diwarisi daripada ibunya suatu ketika dahulu,” tambah Hajah Mona dengan nada terharu ketika mengimbas detik mula menceburi dunia keusahawanan.

Sejak mula melibatkan diri dalam syarikat perniagaan ini, Hajah Mona, telah bergerak secara agresif dan aktif dalam penjenamaan Seri Pekatan sehingga menghasilkan pelbagai pembaharuan dari segi inovasi produk perniagaan. Kini, ‘Pekatan’ bukan sahaja dikenali dengan keropok udangnya, tetapi juga produk-produk yang lainnya seperti pelbagai jenis keropok mentah, minuman jus rosella dan sebagainya.

Pentingnya networking

Selain itu, Hajah Mona yang merupakan pengarah eksekutif Syarikat Seri Pekatan Sdn Bhd, juga telah banyak melibatkan diri di ekspo-ekspo dalam dan luar negara termasuklah seminar, persidangan dan sesi perkongsian.

Oleh itu, beliau yang juga aktif dalam dunia lakonan drama tempatan ini telah menjelaskan bahawa dalam meniti dunia keusahawanan ini, networking itu amat penting kerana dengannya ia mampu meningkatkan bukan sahaja ilmu pengetahuan asas dalam bidang-bidang tertentu malah perkongsian pengalaman sesama para usahawan dan juga masyarakat itu juga memainkan peranan yang sangat penting untuk kita memperbaiki diri masing-masing ke arah yang lebih positif.

Di samping itu, usahawan wanita yang berusia 39 tahun ini turut menyatakan bahawa teknik pemasaran juga perlulah sejajar dengan peredaran zaman di mana dunia kini semakin canggih dengan pelbagai digital platform seperti penggunaan media sosial. Hal ini secara tidak langsung mampu meningkatkan prestasi produk dan jualan dari hari ke hari.

Rekaan fesyen berasaskan keBruneian

Dalam meniti dunia keusahawanan ini, Hajah Mona sememangnya insan yang juga menyukai bidang rekaan dan fesyen terutamanya berkonsepkan blink-blink. Ini terbukti apabila beliau mengetengahkan pelbagai produk fesyen berasaskan bahan printed songket Brunei seperti pakaian, beg tangan dan kasut di bawah Syarikat Dblingz miliknya.

“Adalah menjadi harapan saya, rekaan produk-produk fesyen berasaskan printed songket Brunei ini akan semakin dikenali bukan sahaja di negara ini bahkan juga arena antarabangsa. Inilah keindahan dan kesenian corak yang dimiliki oleh bangsa Melayu Brunei yang sememangnya memiliki keistimewaan yang tersendiri,” ujarnya dengan penuh harapan besar.

Perjuangan demi belia negara

Dalam pada itu, demi membantu golongan belia sama ada secara individu ataupun berkumpulan, berkembang dan menunjukkan hasil karya kreativiti mereka secara terbuka dan konsisten daripada masa ke masa, salah satu platform khusus untuk belia negara menerusi Malam Minggu Pusat Belia (MMPB) juga telah diketengahkan oleh Hajah Mona sejak bulan Januari lalu.

Selaku presiden MMPB, beliau menjelaskan bahawa acara yang diadakan dua kali sebulan yang kebiasaannya berlangsung pada malam minggu bermula pada jam 4 petang hingga 11 malam itu sememangnya bermatlamat untuk menghidupkan kembali suasana Pusat Belia di ibu negara dengan memanfaatkan kemudahan-kemudahan yang sedia ada untuk dinikmati oleh para peserta yang terlibat dan juga orang ramai.

“Adalah menjadi harapan besar saya untuk melihat golongan belia menyemai sikap berdikari seperti berjinak-jinak dengan dunia keusahawanan, di samping menonjolkan bakat dan kemahiran mereka dalam mewarnai industri kreatif tanah air seperti seni lukisan, kraf tangan, nyanyian, tarian, lakonan dan sebagainya di samping memuatkan pelbagai aktiviti gaya hidup sihat, namun tetap berpandukan kepada landasan konsep Melayu Islam Beraja,” ujarnya lagi yang turut bersyukur dengan adanya penglibatan seramai lebih 1000 orang belia secara keseluruhannya dalam pelbagai bidang sejak acara itu diadakan.

Bukan menerima anugerah semata-mata

Dengan bertawakal kepada Allah SWT serta menyemai sifat keikhlasan dalam perjuangan melibatkan diri dalam pelbagai bidang, insan yang berjiwa kental dan berfikiran positif ini telah menerima Anugerah Belia Cemerlang 2019 yang mana anugerah tersebut sebagai pengiktirafan kepada belia atas jasa yang cemerlang dalam kerja atau usaha-usaha yang ditunjukkan dalam mengangkat nama negara dalam pelbagai bidang dan di peringkat antarabangsa.

“Bukan hanya menerima anugerah semata-mata, namun hakikatnya inilah amanah yang perlu saya semai dalam diri sebagai salah seorang ikon belia wanita tanah air untuk sama-sama berjuang menanai tanggungjawab dalam memba-ngunkan negara yang kita cintai ini.

“Inilah bagaikan pemangkin semangat juang bukan sahaja untuk diri sendiri bahkan juga sebagai sumber inspirasi kepada masyarakat di negara ini khususnya para belia sebagai aset yang amat berharga yang dapat digambarkan betapa pentingnya peranan mereka sebagai mekanisme kepada pembangunan sesebuah negara,” ucap Hajah Mona dengan nada penuh kesyukuran atas limpahan rezeki yang tidak terhingga ketika mengimbas kenangan manis sebagai Penerima Anugerah Belia Cemerlang 2019 pada bulan Ogos lepas.

Berjuang tanpa putus asa

Dalam kesempatan ini, Hajah Mona yang pernah mengikuti program suka-relawan penghantaran barangan bantuan dan derma kepada mangsa gempa bumi Tsunami di Palu, Indonesia bersama salah sebuah persatuan bukan kerajaan di negara ini, WeCare pada tahun lepas itu turut menyarankan kepada golongan muda di negara ini untuk sentiasa bangkit berjuang tanpa berputus asa dalam mencapai impian masing-masing dengan penuh keazaman serta percaya pada diri sendiri.

“Seimbangkan masa antara kerjaya, minat dan keluarga meskipun menempuhi cabaran yang dihadapi. Terima cabaran dengan hati yang positif dan terbuka serta semai niat yang ikhlas dalam menjalani kehidupan sehari-hari. Itulah antara kunci untuk mencapai kejayaan yang sebenar,” nasihat beliau semasa mengakhiri sesi temu bual bersama penulis baru-baru ini.