KUCHING, 5 APRIL – Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas tidak berpuas hati dengan kemajuan projek Jalan Hubungan Pantai Kuching-Samarahan yang dibiayai kerajaan negeri bernilai lebih RM485 juta yang menghadapi masalah boleh diselesaikan.
Tanpa menyatakan masalah berkenaan, beliau berkata kerajaan negeri yakin dapat menangani isu dihadapi projek itu, yang terdiri daripada tiga pakej disasarkan siap menjelang Mac 2025.
“JKR (Jabatan Kerja Raya) mempunyai prosedur operasi standard, strategi dan pengalaman. Beberapa masalah dihadapi sebenarnya tidak boleh diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan pejabatnya susulan lawatannya ke tapak projek itu hari ini.
Tiga pakej projek berkenaan merangkumi jambatan empat lorong merentasi Sungai Sarawak berdekatan Sejingkat bernilai RM365,737,131, menaik taraf jalan Kampung Tanjung Bako sejauh 7.5 kilometer (RM37,499,160) dan pembinaan jalan baharu dari Kampung Tanjung Bako ke Jambatan Batang Samarahan sejauh tujuh kilometer (RM81,844,554).
Uggah, yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan negeri berkata, beliau bersama pegawai kanan kementeriannya akan kerap melakukan lawatan pemeriksaan ke atas projek yang sedang dilaksanakan bagi memastikan ia siap mengikut jadual. – Bernama