Tidak selamat didiami

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Sembilan buah keluarga yang tinggal di Bangunan Rumah Pangsa Nombor 133, Blok C, Jalan Kumbang Pasang telah diarahkan mengosongkan bangunan berkenaan setelah pemantauan yang dijalankan mendapati ia tidak selamat untuk didiami.

Bangunan berusia lebih 35 tahun yang mempunyai lima tingkat dan 10 unit itu didapati sudah tidak selamat didiami setelah merujuk kepada laporan dan pemeriksaan teknikal yang mana bangunan tersebut didapati condong.

Dalam pada itu, pihak Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) dan Pasukan Polis Diraja Brunei bekerjasama dengan pemilik bangunan bagi sama-sama memantau kawasan bangunan rumah pangsa itu.

Perkara ini dijelaskan oleh Juruukur Bahan ABCi, Haji Ismail bin Haji Hamdan yang menambah, ABCi telah mengarahkan untuk mengosongkan bangunan berkenaan hari ini bagi memastikan tidak ada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Beliau seterusnya menambah, setelah pemantauan yang dibuat oleh pihak konsultan, terdapat sedikit pergerakan dan hari ini, ABCi meletakkan notis yang tidak membenarkan mana-mana pihak untuk memasuki kawasan tersebut.

Ketika menjelaskan mengenai bangunan berkenaan, beliau berkata, pemilik bangunan pada 26 Mei lalu mendapati adanya perubahan terhadap bangunan tersebut setelah melakukan pemeriksaan.

Sehubungan itu, bangunan berkenaan akan dirobohkan di mana pihak konsultan diarahkan untuk menghadapkan prosedur untuk meroboh kepada pihak ABCi secepat mungkin.

Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai untuk tidak mendekati atau memasuki kawasan bangunan berkenaan.

Turut menyertai dalam penutupan kawasan Bangunan Rumah Pangsa Nombor 133 itu ialah Haji Mohd Alimin bin Haji Omar dari Bahagian Penguatkuasaan ABCi dan pegawai dari Kementerian Pembangunan, ABCi serta pihak pengurusan bangunan berkenaan.

Pihak berkuasa menampalkan notis penutupan bangunan berkenaan.
Bangunan Rumah Pangsa Nombor 133 ditutup setelah didapati tidak selamat untuk didiami. GAMBAR SISIPAN: Haji Ismail menjelaskan bangunan tersebut akan dirobohkan untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.