Tidak selamat digunakan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Kementerian Kesihatan memaklumkan orang ramai supaya tidak menggunakan empat produk kesihatan dan dua produk kosmetik yang mana hasil daripada ujian makmal Bahagian Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Saintifik telah mendapati bahawa produk-produk tersebut dicemari dengan bahan-bahan terlarang yang tidak diisytiharkan.

Produk-produk kesihatan berkenaan adalah Herba Gout & Sendi Pil, dikilangkan oleh D’Sihat Herbs, yang dicemari chlorpheniramine, dexame-thasone dan betamethasone; Secret Super Slimming Kapsul oleh Nanyqish Dynasty dicemari sibutramine; Raspberry TW Booster Gold Tablet oleh Pharma Herb, New Zealand dicemari tadalafil dan America Superman 2800mg Pills (Yellow Oval Tablet) yang dicemari sildenafil.

Manakala produk-produk kosmetik yang tercemar adalah Bleaching Skin by Nina – Bleaching Liquid dari Malaysia yang dicemari hydroquinone dan Gizi Cosmetics Super Cream Secret of Seaweed oleh Gizi Cosmetics Jakarta, Indonesia yang dicemari dengan merkuri.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, bahan-bahan pencemar dalam produk-produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

Kenyataan menjelaskan, chlorpheniramine digunakan untuk melegakan gejala-gejala alahan yang mana ia mempunyai beberapa kesan buruk termasuk merasa mengantuk, pening, kelemahan otot, tekanan darah menurun, kabur penglihatan, mulut kering, kemurungan, denyutan jantung tidak menentu, meningkat selera makan dan berat badan.

America Superman 2800mg Pills (Yellow Oval Tablet)

Gizi Cosmetics Super Cream Secret of Seaweed

Raspberry TW Booster Gold Tablet

Penggunaan kortikosteroid dexamethasone dan betamethasone secara berpanjangan tanpa pengawasan boleh menyebabkan peningkatan pada paras glukosa dalam darah yang mengakibatkan penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi, katarak, penyakit otot dan tulang, serta mening-katkan risiko jangkitan yang
teruk.

Penggunaan kortikosteroid dalam jangka panjang juga boleh mengakibatkan cushing’s syndrome yang mana ciri-cirinya adalah seperti muka bulat atau moon face, serta kegemukan pada bahagian badan yang atas dengan anggota kaki dan tangan yang kecil.

Para pengguna yang telah mengambil dos steroid yang tinggi dalam tempoh masa yang lama mungkin mengalami gejala yang termasuk keletihan, sakit otot dan sendi, demam, kadar gula dalam darah yang rendah, tekanan darah yang rendah dan dehidrasi.

Sibutramine pula adalah agen pelangsing badan yang tidak lagi disarankan penggunaannya dalam rawatan obesiti kerana kesannya yang boleh memudaratkan jantung dan hati. Pengambilan sibutramine juga boleh menyebabkan kesan buruk yang serius seperti tekanan darah tinggi, denyutan jantung yang tidak menentu dan sukar untuk tidur; dan salam kes-kes yang paling teruk, ia boleh menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan hati.

Tadalafil dan sildenafil adalah ubat yang digunakan untuk merawat mati pucuk yang memerlukan preskripsi doktor. Antara kesan-kesan sampingan apabila memakan ubat-ubat tersebut ialah merasa mual, muntah-muntah, muka kemerahan dan pening. Dalam kes-kes yang teruk, ia juga boleh menyebabkan peningkatan luar biasa dalam degupan jantung, kehilangan pendengaran secara tiba-tiba dan sawan.

Merkuri pula adalah bahan yang dilarang dalam produk kosmetik seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik) 2007.

Penggunaannya dalam produk kosmetik adalah dilarang kerana ia boleh memudaratkan kesihatan. Tahap merkuri yang tinggi atau pendedahan yang kerap boleh meyebabkan kulit kebas, sakit kepala, ruam, perubahan warna kulit serta kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Anak damit dan kanak-kanak kecil boleh terdedah dengan kesan sampingan dari pengguna; yang boleh menggangu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau anak damit yang belum dilahirkan.

Sementara itu, hydroquinone adalah bahan yang digunakan dalam ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi bagi merawat penyakit kulit dan ia dilarang sebagai bahan di dalam produk kosmetik penjagaan kulit di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik).

Penggunaannya tanpa pengawasan boleh menyebabkan perubahan warna kulit, hipersensitiviti, bahagian kulit yang disapu menjadi biru-hitam atau gelap serta boleh meningkatan risiko kanser kulit.

Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan untuk penjualan produk-produk tersebut dan/atau mengeluarkan Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik bagi penjualan produk-produk tersebut.

Berikutan dapatan ini, produk-produk berkenaan adalah dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

Orang ramai yang telah membeli atau mengambil produk-produk tersebut dinasihatkan untuk memberhentikan pengambilannya dengan serta merta. Jika mereka mengalami kesan advers dan merasa tidak sihat selepas memakan produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

Kementerian Kesihatan memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Komplians dan Perlesenan jika mendapati produk-produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.

Untuk maklumat lanjut dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Komplians dan Perlesenan melalui talian telefon 2393298 sambungan 208; menghantar e-mel kepada pharmacy.enforcement@moh.gov.bn; berjumpa terus pegawai komplians dan perlesenan di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras, Mukim Gadong A atau hubungi Talian Darussalam 123.