Thursday, April 18, 2024
28.5 C
Brunei

    -

    Tidak semua ucapan salam wajib dijawab

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Salah satu ajaran Islam yang disyariatkan sebagai pengerat silaturrahim, pengukuh kasih sayang serta penjana kekukuhan umat ialah pensyariatan memberi dan menjawab salam.

    Ulama telah bersepakat bahawa memberi salam itu hukumnya sunat kifayah manakala menjawabnya pula adalah fardu ain jika yang diberi salam itu seorang diri dan fardhu kifayah jika yang diberi salam itu ramai.

    Khusus mengenai hukum menjawab salam, tidak semua salam itu wajib dijawab. Sungguhpun hukum asal menjawab salam itu wajib, namun ada kalanya dalam keadaan-keadaan tertentu ia boleh bertukar menjadi sunat, makruh dan bahkan adakalanya haram.

    Terdapat beberapa keadaan yang menyebabkan salam itu tidak wajib dijawab. Keadaan-keadaan tersebut adalah seperti berikut:

    Keadaan pertama: Cara ucapan salam yang tidak diiktiraf atau tidak memenuhi syarat

    Ucapan salam yang tidak dapat didengar oleh orang yang diberi salam adalah tidak memadai dan tidak diiktiraf oleh syarak sebagai ucapan salam yang disunatkan. Oleh itu, orang yang diberi salam tidak wajib menjawab salam tersebut.

    Begitu juga dalam hal menjawab salam. Jika jawapan salam itu belum dapat didengar oleh orang yang memberi salam, maka belum gugur kewajipan menjawab salam itu.

    Ucapan salam dengan isyarat semata-mata tanpa melafazkannya, sedangkan orang yang memberi salam itu bukan orang yang bisu adalah tidak memadai sebagai ucapan salam yang diiktiraf oleh syarak. – Agensi

    Jika orang yang dijawab salamnya itu orang yang kurang upaya pendengarannya, maka hendaklah diangkat suara supaya jawapan salam itu benar-benar dapat didengar oleh pemberi salam itu.

    Adapun ucapan salam secara tulisan pula, umpamanya melalui surat, email ataupun pesanan ringkas telefon bimbit (sms), juga wajib dijawab dengan segera sama ada jawapan salam itu diucapkan melalui tulisan ataupun dilafazkan.

    Ini dengan syarat ucapan salam itu diberikan dengan lafaz ucapan salam yang shahih dan diiktiraf oleh syarak.

    Ucapan salam dengan lafaz ‘Wa‘alaikumussalam’ adalah tidak diiktiraf sebagai ucapan salam. Ini kerana ia hanya sesuai sebagai jawapan salam dan tidak sesuai sebagai lafaz ucapan salam kerana terdapat huruf athf yang membawa makna ‘dan’ pada awal ucapan tersebut. Oleh itu, orang yang diberi salam tidak wajib menjawab salam tersebut.

    Ucapan salam dengan isyarat semata-mata tanpa melafazkannya, sedangkan orang yang memberi salam itu bukan orang yang bisu adalah tidak memadai sebagai ucapan salam yang diiktiraf oleh syarak.

    Oleh itu orang yang diberi salam tidak wajib menjawab salam tersebut.

    Demikian juga dengan jawapan salam, tidak memadai jawapan salam itu hanya dengan isyarat semata-mata.

    Jika disertakan lafaz salam atau jawapannya itu dengan isyarat, maka menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah, yang demikian itu adalah lebih elok dan sunat.

    Ucapan salam kepada orang yang pekak, adalah wajib dilafazkan salam tersebut berserta dengan isyarat tangan atau yang seumpamanya supaya orang yang pekak itu dapat memahaminya. Jika lafaz salam itu tidak disertakan dengan isyarat, maka tidak wajib bagi orang yang pekak itu menjawab salam tersebut.

    Begitu juga dengan jawapan salam kepada orang yang pekak adalah wajib dilafazkan jawapan salam itu berserta dengan isyarat yang difahami oleh orang yang pekak itu.

    Keadaan kedua: Salam antara lelaki dan perempuan yang tiada kaitan mahram atau perkahwinan

    Dalam situasi yang dikhuatiri akan menimbulkan fitnah, umpamanya ucapan salam daripada lelaki ajnabi (yang tiada kaitan mahram atau perkahwinan) kepada perempuan ajnabiah yang boleh mendatangkan keinginan atau ghairah kaum lelaki dan tidak ada bersama mereka orang lain seperti mahram atau jemaah yang ramai, adalah tidak wajib dijawab oleh perempuan ajnabiah itu.

    Bahkan haram perempuan tersebut menjawab salam lelaki ajnabi itu. Demikian juga haram perempuan tersebut memberi salam kepada lelaki ajnabi di dalam situasi seperti di atas kerana perbuatan tersebut dikhuatiri akan menimbulkan fitnah.

    Adapun perempuan ajnabiah yang boleh mendatangkan keinginan atau ghairah kaum lelaki dan tidak ada bersama mereka orang lain seperti mahram atau jemaah yang ramai, jika dalam situasi begini dia memberi salam kepada lelaki ajnabi, maka makruh atas lelaki itu menjawab salam perempuan tersebut dan makruh juga ke atas lelaki itu memberi salam kepada perempuan tersebut kerana yang demikian itu boleh menimbulkan fitnah.

    Dalam situasi yang tidak menimbulkan fitnah pula, umpamanya ucapan salam daripada seorang lelaki ajnabi kepada sekumpulan perempuan, yang jumlahnya sekurang-kurangnya dua orang, maka wajib salah seorang daripada perempuan itu menjawab salamnya kerana hal sedemikian itu tidak akan mendatangkan fitnah sepertimana yang dinyatakan oleh Imam as-Syarbini, Imam Ibn Hajr al-Haitami, Imam as-Sayyid al-Bakri Rahimahumullah dan lainnya.

    Jika semua perempuan itu menjawab salam tersebut maka yang demikian itu adalah harus dan mereka mendapat pahala menjawab salam. Begitu juga sebaliknya, iaitu wajib lelaki itu menjawab salam daripada sekumpulan orang perempuan itu.

    Termasuk juga dalam kategori tidak mendatangkan fitnah ini, perempuan ajnabiah yang tua yang keadaannya tidak mendatangkan keinginan atau ghairah kaum lelaki jika dia memberi salam kepada lelaki ajnabi, maka wajib lelaki itu menjawab salamnya walaupun perempuan tua itu seorang diri ketika itu. Begitu juga wajib atas perempuan tua itu menjawab salam daripada lelaki ajnabi tersebut.

    Dalam situasi yang tidak menimbulkan fitnah seperti yang disebutkan di atas ini, selain wajib dijawab salam yang diucapkan oleh satu pihak, sunat juga hukumnya memberi salam antara satu dengan yang lain.

    Keadaan ketiga: Salam yang diucapkan kepada orang yang tidak disunatkan untuk diberikan salam

    Menurut ulama, orang yang tidak disunatkan untuk diberikan salam kepadanya kerana suatu sebab atau keadaan, maka orang itu pun tidak wajib menjawab salam yang diberikan kepadanya. Penjelasannya adalah seperti berikut:

    Ucapan salam kepada orang yang sedang mengerjakan sujud tilawah atau sedang mengerjakan sembahyang adalah tidak wajib dijawab. Begitu juga tidak wajib diakhirkan jawapan salam itu sehingga selesai mengerjakan sembahyang.

    Bagaimanapun, menurut Imam asy-Syafi‘i Rahimahullah, disunatkan ke atas orang yang sedang mengerjakan sembahyang untuk menjawab salam tersebut dengan menggunakan isyarat sahaja, tanpa melafazkan apa-apa. Iaitu dengan menggunakan isyarat yang dapat difahami sebagai penjawab salam, umpamanya dengan isyarat kepala ataupun tangan.

    Jika dia hendak melambatkan jawapannya sehingga dia selesai mengerjakan sembahyang, maka tidak mengapa dia melafazkannya.

    Ini dengan syarat tidak jauh jaraknya antara ucapan salam dengan jawapannya itu.

    Adapun jika dia menjawab salam tersebut ketika sedang sembahyang dengan melafazkan ‘Wa‘alaikumussalam’ yang maknanya: “Dan selamat sejahtera juga ke atasmu”, maka batallah sembahyangnya jika dia mengetahui akan keharamannya kerana lafaz seumpama itu adalah berbentuk khitab iaitu ada percakapan antaranya dengan pemberi salam.

    Jika ia melakukannya kerana jahil akan keharamannya, maka tidak batal sembahyangnya.

    Sekiranya dia menjawab salam dengan lafaz ‘Wa‘alaihissalam’ yang maknanya: “Dan selamat sejahtera juga ke atasnya”, maka menurut ulama, ini tidak membatalkan sembahyang kerana lafaz seumpama itu adalah doa yang tidak berbentuk khitab iaitu tidak ada percakapan antaranya dengan pemberi salam.

    Menurut Imam asy-Syarbini Rahimahullah, ucapan salam kepada seorang khatib yang sedang berkhutbah adalah tidak wajib dijawab kerana kesibukannya menyampaikan khutbah itu.

    Adapun ucapan salam kepada orang yang sedang mendengar khutbah pula, menurut pendapat al-ashah (yang paling shahih), wajib hukumnya dia menjawab salam tersebut.

    Ucapan salam kepada orang yang sedang khusyuk atau tertumpu akal fikirannya, hatinya ataupun jiwanya mengerjakan sesuatu perkara, yang mana kekhusyukannya itu menyebabkan dia sukar untuk menjawab salam pada ketika itu.

    Tidak kira dalam hal ini sama ada perkara yang dikerjakannya itu adalah perkara ibadat, seperti orang yang sedang khusyuk membaca doa, mahupun perkara keduniaan.

    Maka orang-orang dalam keadaan seumpama ini tidak sunat diberikan salam kepadanya dan tidak wajib mereka menjawab salam tersebut.

    Ucapan salam kepada orang yang sedang qadha hajat adalah tidak wajib dijawab.

    Bahkan makruh bagi mereka untuk menjawab salam.

    Ucapan salam kepada orang yang sedang minum, atau sedang mengunyah makanan atau ada makanan di dalam mulutnya adalah tidak wajib dijawab, bahkan hanyalah sunat sahaja baginya untuk menjawabnya.

    Ucapan salam kepada orang yang sedang melaungkan azan ataupun iqamah adalah tidak wajib dijawab.

    Akan tetapi jika dia hendak menjawabnya juga maka tidaklah makruh hukumnya dan tidak pula terjejas azan ataupun iqamah yang didirikannya itu.

    Menurut Syaikh al-Malibari Rahimahullah, sunat menjawab salam ketika sedang melaungkan azan atau iqamah itu dengan isyarat sahaja tanpa melafazkannya dan boleh juga melambatkan jawapannya sehingga dia selesai melaungkan azan atau iqamah itu dengan syarat tidak jauh jaraknya antara ucapan salam dengan jawapannya itu.

    Ucapan salam kepada orang yang dalam keadaan sangat mengantuk adalah tidak wajib dijawab.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Utusan AS ke PBB berikrar sokong keluarga Jepun yang diculik Korea...

    TOKYO, 18 APRIL - Amerika Syarikat (AS) berdiri bersama Jepun sehingga semua warga Jepun yang diculik oleh Korea Utara beberapa dekad lalu pulang ke...