(Siri 3)
Oleh Dino MN –
Dia duduk bergandingan dengan Norhana. Dia mempersilakan Norhana minum sambil memberikan secangkir kopi untuk suaminya. Norhana mencapai secangkir kopi dan menghirupnya perlahan.
“Bilakah kereta haji boleh siap?,” tanyanya kepada Norhana.
“Dalam tiga hari lagi bu hajah. Biarkan sedikit lambat sebab saya minta semua kusyen dalam diganti dengan leather. Catnya juga saya ubah agar nampak baharu,” terang Norhana kepadanya.
“Tapi tentu besar belanjanya…”
“Bu hajah tak perlu risau saya sendiri yang bayarkan”.
“Sekiranya pak haji bersetuju seperti yang Ana cadangkan…Insyallah Ana akan usahakan,” kata Norhana memecahkan kesepian sebentar tadi.
“Berhubung dengan modelnya biar Ana yang bantu.”
Norhana sebenarnya memiliki syarikat yang diwarisi daripada bapanya, sebuah syarikat yang beroperasi di dalam dan luar negeri dalam bisnes pembinaan dan memiliki saham perhotelan di bandar-bandar terkemuka di Eropah dan Dubai.
Itu semua diusahakan oleh bapanya semasa bertugas di tempat-tempat tersebut. Semasa bertugas di luar negara, bapanya telah memasuki skim insurans nyawa bagi dirinya dan juga Norhana sejak dia kecil lagi.
Kerana itu setelah bapanya meninggal dunia wang pampasan insurans bapanya yang bernilai jutaan ringgit menjadi miliknya kerana dia adalah pewaris tunggal.
Pada ketika bapanya meninggal dunia dia masih lagi menuntut di sebuah universiti terbaik di London dalam bidang pengajian bisnes dan kewangan, peguam bapanya telah bersetuju mengurus perjalanan bisnes harta milik bapanya sementara dia masih kuliah dan harta itu sekarang sudah menjadi milik dirinya.
“Seandainya aku masih muda tentu saja aku menerima cadangan Ana itu,” jawabnya sekali gus menolak cadangan dari Ana.
“Pak haji jangan risau…Ana akan membantu sepenuhnya dari segi model, percayalah pada Ana.”
Seminggu selepas kejadian kemalangan kenderaannya, saat dia mengira-ngira wang gaji pekerjanya di meja opis syarikatnya telefon bimbitnya berbunyi.
“Ya saya sendiri…ya khabar baik dan sihat…Ana bagaimana khabarnya?,” dia menjawab ringkas dan terus bertanya khabar Norhana.
Seminggu juga dia tidak ke projek binaan yang dibuatnya di Kampung Perpindahan Lugu.
Pekerjanya yang bertindak sebagai posmen saja melaporkan apa-apa yang telah dibuat dan yang akan dibuat ke depannya.
Dia sangat mempercayai kejujuran posmennya dalam mengendalikan semua projek binaan yang dimbilnya.
“Ana ingin menjemput pak haji dan juga bu hajah untuk melihat sendiri kereta pak haji yang telah siap dibaiki…”
“Sudah siapkah Ana?,” tanyanya spontan tak sabar lagi sehingga percakapan Norhana terputus.
“Ya…ya pak haji udah siap…pak haji sama bu hajah nanti petang saya jemput untuk melihat sendiri…”
Petang itu selesai sembahyang Asar tepat yang dijanjikan, Norhana tiba dengan kereta mewahnya yang berjenama Toyota Alphard.
Norhana tidak memandu keretanya sebaliknya dipandu oleh pemandu peribadinya.
Dia duduk di depan bersama pemandu, sementara isterinya duduk bersama Norhana di bahagian belakang.
“Kita ini mau ke mana sekarang?,” tanya Hajah Maidah pendek.
“Ke rumah Ana bu hajah…kereta pak haji sudah siap dibaiki dan dihantar terus ke rumah saya petang kelmarin oleh pekerja bengkel…” jawab Norhana sambil membetulkan sedikit duduknya.
“Jadinya, kira-kira berapa upah membaikinya Ana?,” tanya Hajah Maidah.
“Soal bayaran upah membaiki kereta itu, bu hajah tidak perlu fikirkan, Ana yang membayarkan semuanya..Ana ikhlas bu hajah”.
“Tidak juga boleh begitu Ana. Biarkan saya ikut membayarkan separuh dari harga membaikinya,” katanya sambil menoleh ke arah isterinya dan Ana yang duduk bahagian belakang.
“Aaa ialah Ana betul tu…” kata Hajah Maidah.
“Lupakan soal bayaran tu, kita pun sudah sampai di rumah saya”.
“Alhamdulillah…” ucap Hajah Maidah. Dia memerhatikan keadaan sekitar rumah Ana yang serba luas dan cantik dengan pokok hias dan berbagai jenis bunga.
Dia juga nampak pekerja halaman rumah sebanyak tiga orang dan seorang penjaga pintu pagar rumah.
Penjaga pintu pagar pula sentiasa berada di pondok jaga tersebut.
“Mewah betul hidup Ana ni…,” kata Hajah Maidah dalam hatinya. Pandangan matanya terus berkeliaran di sekitar rumah Norhana.
Sebuah garaj yang panjang dan lebar berdinding bata dan tertutup dengan pintu yang kukuh tidak mudah dicerobohi oleh orang-orang yang jahat.
“Marilah turun bu hajah,” perlawa Norhana sambil membuka pintu tempatnya.
Hajah Maidah membuka pintunya dan terus keluar.
Dia keluar setelah pemandu kerita Norhana membuka pintu depan sebelah kiri untuknya.
Dia terus berjalan bergandingan bersama pemandu tersebut menuju ke garaj yang besar itu.
Sementara isterinya Hajah Maidah bersama Norhana sudah menunggu di depan pintu garaj.
Pintu garaj ternganga dengan luasnya maka kelihatanlah beberapa buah kereta mewah.
Hajah Maidah kehairanan melihat kereta-kereta tersebut.
“Mana dia kereta suami saya? tak nampak pun.”
“Yang itu bu hajah…” sambil tangannya menunjukkan ke arah sebuah kereta Pajero berwarna kelabu kebiruan yang nampak berkilau disinari cahaya matahari.
Yang????? tanyanya dalam hati…