Tidak serik masuk penjara

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara selama tujuh tahun berserta dua kali sebatan hari ini di Mahkamah Perantaraan berkaitan dengan kesalahan mencuri.

Norfazil bin Tamit mengaku bersalah atas pertuduhan menceroboh pejabat dan dua kesalahan pecah rumah.

Hakim Muhammed Faisal bin PDJLDR DSP Haji Kefli menjatuhkan hukuman tersebut setelah mempertimbangkan kesalahan ini adalah yang dilakukan tertuduh dengan 11 rekod jenayah sebelumnya yang melibatkan kesalahan berkaitan harta benda dalam jangka tempoh 20 tahun sejak tahun 2000 dan sabitan terakhirnya pada tahun 2015 di mana dia dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan dibebaskan pada bulan Disember 2019.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Firdaus Mohammad dan Aeny Zullizam mendedahkan di dalam mahkamah bahawa tertuduh dengan bantuan orang lain, berjaya memasuki sebuah pejabat di Jalan Gadong sekitar pukul 10 pagi 11 Julai.

Tertuduh menaiki bas dari Bandar Seri Begawan menuju Gadong. Apabila tiba di tempat itu, tertuduh memakai topeng muka untuk menyembunyikan identitinya dan naik ke tingkat dua untuk mencari pintu belakang pejabat yang tidak berkunci.

Tertuduh kemudiannya memasuki dan menggeledah sebuah bilik pejabat di mana tertuduh telah menemui peti wang tunai dan mengambilnya.

Tertuduh, dan pembantunya, memasukkan peti wang tunai itu ke dalam tong sampah untuk menyembunyikannya yang mana perbuatan tersebut berjaya dirakam CCTV kamera di premis berkenaan.

Tertuduh dan pembantunya kemudiannya melarikan diri dari tempat kejadian dengan membawa peti wang tunai tersebut menaiki sebuah teksi.

Tertuduh meminta pemandu teksi untuk menurunkannya di Telanai, Jalan Beribi di mana dia dan pembantunya kemudian membawa peti itu ke kawasan pelupusan sampah lalu membukanya dan menemui wang tunai berjumlah lebih $1,000.

Mereka kemudiannya membahagikan wang tersebut dan tertuduh menggunakannya untuk membeli makanan dan dadah.

Pada 21 Julai, kira-kira pukul 3 petang, tertuduh sekali lagi pergi ke Serusop menggunakan bas dan memasuki tingkap bilik bangunan komersial dan menuju ke tempat tinggal pekerja asing.

Tertuduh kemudiannya mencuri tiga bekas berisi duit syiling berjumlah $200 dan $11 dari sebuah beg.

Sementara itu, dalam bilik yang lain pula, tertuduh mencuri dua telefon pintar dan memasukkan barang curiannya ke dalam karung beras yang dibawanya sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.

Satu kamera CCTV mendapati perbuatan tertuduh yang meninggalkan premis melalui pintu belakang. Tertuduh kemudiannya menjual telefon bimbit tersebut dan menggunakan duit hasil penjualannya itu bersama wang tunai yang dicurinya untuk membeli makanan dan dadah.

Sementara itu, pada 30 Jun sekitar jam 12 tengah hari dan 1 Julai sekitar 8 pagi, tertuduh berjalan kaki dari Bandar Seri Begawan ke Kiulap dan menuju ke premis tempat tinggal.

Dia mendapati rantai pada pagar utama, tetapi berjaya melonggarkannya kemudian memasuki premis dan mendapati tiada sesiapa pun berada di sana lalu membawa lari tiga utas jam tangan dan satu silinder gas yang kemudian dijualnya.

Bagaimanapun tertuduh tidak ingat di mana dia menyimpan jam tangan yang dicurinya tersebut.