Tidak serik masuk penjara

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Seorang lelaki berusia 54 tahun yang telah terlibat dalam kes jenayah sejak 1981 dijatuhi hukuman penjara 16 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, kerana mencuri.

Kifli bin Tuah, warga tempatan, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hajah Siti Mu’izzah binti Haji Sabli.

Pihak pendakwaan mendedahkan bahawa tertuduh menaiki bas dan pergi ke gedung perniagaan di Kiulap pada pukul 4 petang 8 Ogos lalu apabila dia melewati troli tanpa pengawasan dengan beg tangan yang disangkut di atasnya.

Tertuduh lalu melihat ke dalam beg tersebut dan mendapati telefon bimbit di dalamnya lalu mengambilnya.

Tertuduh menyembunyikan telefon bimbit tersebut di dalam saku seluarnya dan membuat pembayaran bagi barang beliannya di salah satu kaunter di gedung membeli-belah tersebut sebelum meninggalkan lokasi.

Tertuduh menaiki bas menuju ke stesen bas di ibu negara apabila dia menyedari telefon berkenaan dikunci dan memerlukan kata kekunci untuk membukanya.

Rasa kecewa, tertuduh menjual telefon bimbit tersebut kepada seseorang apabila dia turun di stesen bas dengan harga $30.

Pada hari yang sama, mangsa menyedari bahawa telefonnya hilang dan membuat laporan polis.

Siasatan polis dibantu dengan rakaman CCTV di pasar raya tersebut telah menunjukkan perbuatan tertuduh.

Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman mengambil kira akan sabitan kesalahan tertuduh sebelumnya yang banyak dalam memberikan hukuman yang sesuai ke atasnya.