Tidak serik menjadi pencuri

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Dua lelaki yang mengaku bersalah mencuri 28 karton minuman ringan dan empat buah kereta dihukum penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Muhammad Azeimi bin Hassim, 34, dijatuhi hukuman 30 bulan penjara oleh Majistret Kamaliah Fadhilah binti Haji Ibrahim sementara Asrimi bin Damit, 44, dihukum 40 bulan penjara.

Kedua-dua tertuduh mencuri 28 karton minuman ringan dari sebuah kedai di Pekan Muara pada 2 Disember 2019, dan menjual sebahagian daripada minuman ringan itu pada harga $100.

Hasil jualan dibahagi dua dan digunakan untuk kegunaan sendiri. Nilai keseluruhan karton minuman ringan ialah $460.

Kedua-dua tertuduh dalam kejadian antara 1 dan 2 Disember 2019 turut mencuri sebuah kereta dari kawasan Batu Bersurat.

Asrimi turut berdepan tiga tuduhan mencuri kereta, masing-masing pada 28 dan 29 November 2019 di kawasan Gadong dan pada 1 Disember 2019 di kawasan Sumbiling.
Dalam rekod mahkamah, kedua-dua tertuduh mempunyai kesalahan jenayah lampau membabitkan curi harta benda.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Kamal Ariffin bin Ismail.