Tidak sesuai miliki pusat latihan boling sendiri

KUALA LUMPUR, 19 OKT – Dalam keadaan penularan pandemik COVID-19 yang berlaku kini, timbul persoalan mengenai keperluan untuk skuad boling negara memiliki pusat latihan mereka sendiri, bagi membolehkan latihan harian diteruskan tanpa terganggu.

Ini kerana walaupun skuad boling negara secara konsistennya menghadiahkan pingat daripada pelbagai kejohanan seperti Sukan SEA dan Sukan Asia selain gelaran Kejuaraan Dunia dan Asia, latihan skuad boling negara terhenti akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), bagi menghentikan penularan pandemik COVID-19 di Lembah Klang.

Lebih mengecewakan apabila ketika latihan harian mereka itu perlu dihentikan, sedangkan atlit-atlit lain boleh meneruskan latihan mereka dalam keadaan terkawal dan tertutup.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, skuad boling tidak dibenarkan untuk meneruskan latihan mereka apabila venue latihan – Sunway Mega Lane, terletak di dalam pusat beli-belah, menyebabkan atlit terbabit, terdedah kepada jangkitan virus tersebut. – Bernama