Tidak tolak jika takdir disatukan

Soal jodoh, pasangan yang kini dikaitkan sedang menjalinkan hubungan cinta, Yusuf Bahrin, 29, dan Zizi Kirana, 36, tidak menolak andainya takdir menyatukan mereka hingga ke jenjang pelamin.

Kemesraan Yusuf dan Zizi mencuri perhatian ketika tampil dalam Instagram (IG) Live, baru-baru ini. Malah, Yusuf secara berseloroh memanggil Zizi dengan gelaran sayang hingga tular dalam aplikasi TikTok.

Begitu juga Zizi meninggalkan komen bertulis Habibi bermaksud ‘kesayanganku’ dalam Bahasa Arab, selain menulis CHK dipercayai bermaksud ‘cinta hatiku’.

Mengulasnya, pelakon yang melonjak nama menerusi drama Sweet Dreams itu mengakui, hubungannya dengan Zizi kian rapat sejak terbabit dalam rakaman program All Together Now Malaysia terbitan Astro pada Mac lalu.

“Mulanya, kami kenal hanya sebagai kawan. Namun, saya dan Zizi ada keserasian dan mula rapat.

Yusuf Bahrin dan Zizi Kirana tidak menolak andainya takdir menyatukan. – Agensi

“Kami hanya berhubung menerusi telefon bimbit, mesej menerusi aplikasi WhatsApp dan berinteraksi dalam laman Instagram.

“Jujurnya, kami tidak pernah keluar dating, lagipun situasi semasa pandemik COVID-19 membataskan pergerakan.

“Apa yang boleh dikatakan, hubungan kami cukup rapat. Tetapi, saya hanya berserah kepada takdir untuk perjalanan perhubungan ini. Soal jodoh, rahsia Allah,” katanya. Yusuf berkata, sebagai lelaki keinginan untuk menamatkan zaman bujang pasti ada.

“Cuma, saya tidak pernah merancang bila mahu kahwin. Saya sentiasa yakin dengan kuasa Allah, lebih mengetahui apa yang terbaik untuk diri saya.

“Jika takdir menentukan jodoh dengan Zizi, saya terima dengan hati terbuka,” katanya.

Ditanya mengenai peribadi penyanyi lagu Eh itu, jejaka yang sinonim dengan watak Dr Amar menerusi drama Sweet Dreams itu berkata, dia sangat menyenangi sikap dan perwatakan Zizi. – Agensi