Tiga agensi kerajaan, empat NGO dibenar laksana ibadah korban

LABUAN, 19 JULAI – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Labuan telah memberikan kebenaran khas kepada tiga agensi kerajaan dan empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di pulau ini untuk melaksanakan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha, esok.

Ketua Penolong Pengarah Kanan JAWI Labuan Sharidah Zainal Abidin berkata tiga agensi kerajaan itu adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Menurut beliau NGO pula membabitkan jawatankuasa Masjid Nurul Iman Kampung Sungai Bedaun; Kelab Kebajikan dan Rekreasi Kakitangan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan; Aman Palestin Berhad dan Persatuan Badan Kebajikan Pejabat Mufti.

Jelasnya lapan kawasan lapang telah diluluskan untuk melaksanakan aktiviti penyembelihan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu empat balai bomba dan penyelamat, balai polis Labuan; Kompleks Perumahan Kastam, Bukit Kuda; Dewan Komuniti Kampung Sungai Bedaun (Masjid Nurul Iman); dan Kawasan Lapang Kampung Lajau bersebelahan Masjid Sultan Muhammad V.

“Penguatkuasaan pemantauan SOP oleh PDRM, Jabatan Sukarelawan Malaysia, unit penguat kuasa Perbadanan Labuan (PL) serta cawangan penguatkuasaan JAWI akan dilakukan di semua lokasi melapah dan memotong dilaksanakan,” katanya kepada Bernama di sini. – Bernama

Kambing dibawa menggunakan kenderaan pacuan empat roda bagi persediaan sambutan Aidiladha di Masjid Sultan Muhammad V Labuan. Tiga agensi kerajaan dan empat pertubuhan bukan kerajaan untuk melaksanakan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha pada 20 Julai. – Bernama