Mempertaruhkan wajah tampan dan populariti media sosial, tiga anak muda berbakat, Razmansyah, Afiq Adnan dan Nidza Afhan bergabung suara menerusi single berjudul OY.
Single yang mempertaruhkan genre balada pop itu mengetengahkan elemen lagu rakyat yang diberi nafas baharu yang lebih segar.
“Komposer, Sharon Paul bertanggungjawab menemukan kami bertiga. Dia memaklumkan hasratnya untuk mencipta lagu untuk kami. Pelawaannya itu kami terima dengan hati terbuka.
“Rakaman dibuat di Studio Musicwerk dan memakan masa lebih kurang tiga bulan.
“Sejujurnya, kami jarang menyanyikan lagu rancak. Tetapi kami sahut cabaran ini dan cuba sampaikannya dengan baik.
“Kerjasama dengan komposer hebat seperti Sharon Paul dan Ezra Kong merupakan pengalaman berharga buat pendatang baru seperti kami,” kata Nidza.
Disoal tentang mesej dalam lagu, Afiq memberitahu OY menceritakan kisah kesetiaan kekasih yang berusaha sedaya upaya untuk mengahwini pasangannya.
“OY adalah singkatan bagi Only You. Lagu ini menceritakan tentang seorang lelaki yang berusaha mengumpul duit untuk mengahwini teman wanitanya.
“Lagu ini juga membawa maksud apresiasi yang mendalam terhadap kaum wanita secara amnya,” katanya.
Mengulas tentang klip video, Razmansyah pula berkata mereka akan melancarkannya secara serentak tidak lama lagi.
“Jalan ceritanya berkisar tiga rakan sekerja yang pernah mencintai perempuan yang sama. Satu hari, perempuan tersebut hadir dengan teman lelaki baharu.” – Agensi