BAIKONUR, Kazakhstan, 13 Sept – Dua angkasawan Amerika Syarikat (AS) dan seorang angkasawan Rusia hari ini berlabuh di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) bagi misi lima bulan selepas pelancaran waktu malam dari Baikonur di Kazakhstan.
Agensi angkasa lepas Roscosmos Rusia berkata kapal angkasa lepas Soyuz MS-06 ‘telah berjaya berlabuh’ di ISS pada jam 0255 GMT, dalam satu kenyataan di laman sesawangnya.
Roket Soyuz yang membawa Alexander Misurkin dari Roscosmos, angkasawan NASA yang baru pertama kali membuat penerbangan ini, Mark Vande Hei dan rakan sekerja veteran Joe Acaba telah dilancarkan seperti yang dijadualkan dari Baikonur pada jam 2117GMT.
Ketiga-tiga mereka ini akan menyertai Paolo Nespolis dari Itali, Sergey Riazanski dari Rusia dan Randy Bresnik dari AS berada di makmal orbit itu.
Pelancaran itu menandakan kali pertama dua angkasawan AS berlepas bersama-sama dalam misi ke ISS dari Baikonur, Rusia sejak Jun 2010.

Agensi angkasa lepas Amerika telah menghentikan pelancaran yang dikendalikannya sendiri ke ISS pada 2011, tetapi baru-baru ini mengambil langkah untuk menambah pelengkap krunya di ISS apabila pihak Rusia mengurangkan langkah penjimatan kos yang diumumkan tahun lalu.
Acaba, 50, telah menghabiskan masa hampir 138 hari di angkasa lepas dalam dua misi, manakala Vande Hei, 50 tahun berkhidmat dengan tentera AS di Iraq sebelum berlatih sebagai angkasawan.
Miskurin, 39 tahun yang memulakan misi keduanya di ISS, juga mempunyai latar belakang ketenteraan.
Bercakap pada sidang media sebelum pelancaran Isnin lalu, Acaba yang dari warisan Puerto Rica, berkata dia akan membawa beberapa ‘musica Latina’ di ISS untuk menaikkan semangat rakan-rakan krunya.
“Saya amat pasti rakan-rakan kru saya tidak akan tertidur ketika muzik itu dimainkan dan jika anda mahu menari pada pukul 3 pagi beralih pada kapsul Soyuz kami, saya berpendapat kamu akan menyukainya,” dia memberitahu para wartawan. – AFP