Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Tiga artis terpilih Program SEA AiR

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JAN – Dengan matlamat untuk menjana pertukaran kebudayaan dan artistik di antara Asia Tenggara dan Eropah serta untuk mendalamkan lagi kefahaman mengenai pelbagai cabang kebudayaan dan membentuk nilai-nilai persahabatan, Nanyang Technological University, Singapura (NTU Singapura) dan delegasi Kesatuan Eropah (EU) ke Singapura telah melancarkan program pertukaran kebudayaan dan artistik, Studio Residence in the EU for Southeast Asian Artists (SEA AiR) pada 2021.

    Program SEA AiR merupakan sebuah program baharu yang meletakkan Singapura sebagai hab bagi pertukaran artistik di antara EU dan rantau Asia Tenggara di mana ia dibangunkan oleh NTU Centre for Contemporary Art (NTU CCA) Singapura yang dibiayai oleh Foreign Policy Intruments EU.

    Program itu menawarkan artis terpilih satu pendekatan jangka panjang yang merangkumi penempatan tiga bulan di sebuah negara EU dan peluang untuk menghasilkan karya baharu yang diinspirasikan daripada pengalaman penempatan mereka. Hasil karya seni mereka akan dipamerkan kepada orang ramai di Singapura dalam sebuah pameran berkumpulan yang dikendalikan oleh NTU CCA Singapura.

    Sehubungan itu, tiga orang artis dari tiga buah negara Asia Tenggara telah dipilih untuk menjadi kumpulan pertama bagi program SEA AiR di mana artis terpilih berkenaan telah diperkenalkan dalam Sidang Media SEA AiR yang berlangsung secara maya pada 10 Januari lalu.

    Semasa sidang media berkenaan, Duta EU ke Singapura, Iwona Piorko berkata program itu merupakan platform kerjasama yang dipermudahkan oleh delegasi EU ke Singapura dan NTU CCA Singapura yang menggabungkan EU, Singapura dan Asia Tenggara menerusi seni.

    Tiga orang artis terpilih sebagai kumpulan pertama bagi Program SEA AiR diumumkan Iwona Piorko semasa sidang media yang berlangsung secara maya pada 10 Januari lalu.
    Program SEA AiR merupakan platform yang cemerlang bagi artis-artis untuk memupuk hubungan global dan berkarya dengan institusi-institusi seni Eropah berprestij.

    Beliau menambah program itu menandakan ulang tahun hubungan dialog EU-ASEAN ke-22 dan pelaksanaan program SEA AiR adalah amat bertepatan bagi menandakan permulaan tahun bermakna itu.

    “Dengan Singapura memainkan peranan penting sebagai enjin menerajui pembangunan seni kontemporari serantau, delegasi EU ke Singapura bersama-sama dengan NTU CCA Singapura, amat teruja untuk menyaksikan hasil karya kreatif dan berwawasan yang lahir daripada projek perintis itu,” tekannya.

    Program SEA AiR dikhususkan bagi artis-artis yang belum mempunyai pengalaman profesional yang signifikan di Eropah di mana ia akan memacukan pertukaran kebudayaan dan kreatif di antara Asia Tenggara dan EU menerusi pengamal seni visual yang baharu dengan menyediakan platform yang signifikan untuk pertumbuhan diri dan profesional menerusi format penempatan artistik di Eropah serta pameran berkumpulan di Singapura.

    Iwina Piorko pada sidang media itu, turut mengumumkan tiga rakan kongsi institusi bagi pusingan pertama program SEA AiR iaitu Wiels, Brussels, Belgium, Helsinki International Artist Programme (HIAP), Finland dan Villa Arson, Nice, Perancis.

    Beliau juga mengumumkan tiga orang artis Asia Tenggara yang terpilih sebagai kumpulan pertama bagi program berkenaan yang dipilih daripada 24 orang yang dicalonkan oleh kurator dan artis dari serata Asia Tenggara.

    Tiga orang artis yang terpilih ialah Hoo Fan Chon dari Malaysia yang akan ditempatkan dengan HIAP, Citra Sasmita dari Indonesia yang akan ditempatkan dengan Wiels dan Vuth Lyno dari Kemboja yang akan ditempatkan dengan Villa Arson, di mana mereka dipilih oleh sebuah jawatankuasa berdasarkan kualiti karya dan perkaitan cadangan karya mereka.

    Sementara itu, Dekan College of Humanities, Arts and Social Sciences, NTU, Profesor Joseph Liow berkata selaras dengan usaha berterusan NTU sebagai pemangkin bagi kesalinghubungan global, ketiga-tiga orang artis yang dipilih sebagai kumpulan pertama bagi program berkenaan, adalah artis yang mempunyai latar belakang yang berlainan dan berharap akan menyaksikan hasil karya yang menarik daripada mereka serta peluang untuk mereka membangunkan diri profesional melalui pengalaman di institusi-institusi seni yang berprestij di Eropah.

    Beliau menambah program SEA AiR merupakan platform yang cemerlang bagi artis-artis untuk memupuk hubungan global dan berkarya dengan institusi-institusi seni Eropah berprestij.

    Ketiga-tiga artis yang terpilih itu akan melaksanakan penempatan mereka di institusi-institusi masing-masing di antara Mac hingga Jun 2022 di mana mereka akan kembali ke Singapura serta menghoskan pameran karya seni mereka di hujung 2022.

    Pameran itu akan memberikan peluang kepada orang ramai di Singapura untuk menyaksikan dan menikmati hasil karya seni artistik merentas rantau dan menjana perbincangan di kalangan komuniti artis yang meluas.

    Program SEA AiR juga menekankan pentingnya pertukaran dan pertemuan kebudayaan bagi menjana sebuah masyarakat yang terbuka dan inklusif serta dapat meningkatkan dialog EU-ASEAN menerusi amalan seni kontemporari.

    Di samping itu, program berkenaan juga menyediakan peluang kepada para artis Asia Tenggara untuk mendapatkan pendedahan antarabangsa dan pertumbuhan yang bermakna melalui penempatan dengan institusi-institusi seni Eropah yang berprestij.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...