Tiga askar India maut dalam pertikaian sempadan China

ANKARA, 16 JUN – Tiga askar India, termasuk seorang pegawai, terbunuh dalam pertembungan dengan tentera China di sepanjang sempadan ‘Line of Actual Control’ di wilayah yang menjadi pertikaian, Ladakh di Jammu dan Kashmir.

Menurut agensi berita Anadolu, pertempuran berlaku semalam di Lembah Galwan Ladakh, kawasan kedua-dua pasukan pernah bertempur sejak awal Mei, menurut kenyataan tentera India pada hari ini. Kementerian Luar China berkata pihak India ‘secara serius telah melanggar konsensus.’

“Tentera India telah melanggar konsensus yang disepakati kedua-dua pihak dengan menceroboh sempadan secara haram sebanyak dua kali dan melakukan serangan provokatif ke atas tentera China, menyebabkan berlaku pertempuran,” lapor harian Global Times, memetik kementerian itu. – Bernama