‘Tiga beradik’ dinanti setiap Ramadan

KUANTAN – Bagi penduduk Pahang, kehadiran kuih ‘tiga beradik’ sememangnya menjadi perkara yang paling dinantikan setiap kali Ramadan untuk dijadikan pencuci mulut.

Pengusaha kuih tradisional itu, Siti Hasimah Sheikh Nordin, 45, berkata, kuih tersebut terdiri daripada tiga jenis kuih berbeza iaitu kuih badak kubang, kuih pepena atau turut dikenali sebagai pena dan dodol kukus, yang lebih dikenali di sebelah Pahang barat.

“Kuih ini sinonim dengan kawasan bernama Chenor di daerah Maran dan dikatakan sebagai tiga beradik kerana persamaan bahan utama yang digunakan dalam pembuatannya iaitu tepung pulut dan santan pekat.

“Proses membuatnya tidak susah cuma perlu kesabaran untuk menguli selain perlu memastikan santan yang digunakan benar-benar segar supaya kuih berlemak dan cantik,” katanya semasa ditemui di rumahnya di Inderapura.

Siti Hasimah berkata setiap hari beliau akan dibantu suami Amir Yaakob, 57, untuk menyiapkan tempahan maksimum 150 bungkus kuih yang menggunakan empat bungkus tepung pulut dan lima kilogram santan.

Pengusaha kuih tradisional Siti Hasimah Sheikh Nordin bersama suami, Amir Yaakob, menunjukkan kuih ‘tiga beradik’ tempahan pelanggan yang dijual dalam talian akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang Ramadan. – Bernama
Setiap hari Siti Hasimah dan suami menyiapkan tempahan maksimum 150 bungkus kuih yang menggunakan empat bungkus tepung pulut dan lima kilogram santan. – Bernama

Proses membuat kuih akan bermula selepas membeli santan pada jam 8 pagi setiap hari kerana mereka perlu memastikan semua kuih siap dibungkus selewat-lewatnya jam 2 petang bagi urusan penghantaran yang akan dilakukan oleh penghantar tetap mereka.

“Kami tidak boleh menghantar kuih terlalu awal kerana bimbang kuih tidak tahan sehingga waktu berbuka memandangkan ia mengandungi santan selain rasanya juga lebih enak jika tidak disimpan dalam peti sejuk,” katanya.

Lazimnya, pembuatan kuih dimulakan dengan membuat dodol kukus yang mempunyai tahi minyak iaitu sisa pati santan dari proses membuat minyak kelapa yang turut dihasilkan sendiri kerana prosesnya lebih mudah berbanding ‘dua lagi beradik’.

Selepas itu, ia disusuli dengan badak kubang iaitu tepung pulut yang dibulatkan dengan inti kelapa, diikuti kuih pepena yang diperbuat daripada tepung pulut dibentuk menjadi seakan-akan bintang sebelum kedua-duanya kuih disusun di atas daun pisang dan disiram dengan santan sebagai ‘kuah’.

“Walaupun kedua-duanya menggunakan santan, namun rasa santannya berbeza. Santan untuk badak kubang hanya berlemak manakala santan kuih pepena manis dan lebih beraroma kerana dicampurkan dengan air perahan daun pandan,” katanya.

Siti Hasimah berkata sejak mula serius dalam pembuatan kuih tradisional itu, badak kubang merupakan kuih paling mendapat sambutan dan mengikut resipi asli dari Chenor, beliau menggunakan inti kelapa walaupun di sesetengah tempat seperti di Raub menggunakan gula kabung.

Ditanya bagaimana beliau boleh berminat membuat kuih itu, Siti Hasimah mengakui pada awalnya beliau hanya mencuba sekadar untuk mengisi masa lapang selepas berhenti kerja beberapa tahun lalu.

“Sebagai anak jati Telok Melati di Chenor, saya memang biasa dengan kuih ini. Cuma selalunya buat untuk makan sendiri. Bila hendak mula berniaga, saya belajar semula resipi dari saudara mara terutama mereka yang tua.

“Banyak kali juga hantar kepada jiran dan rakan supaya mereka dapat tegur jika ada kekurangan. Alhamdulillah, reaksinya baik cuma di sini (Kuantan) saya perlu mengurangkan kuantiti gula kerana ramai mengatakan resepi asal terlalu manis,” katanya. – Bernama