Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – Tiga buah kereta terlibat dalam kemalangan kelmarin di kawasan berdekatan Taman Jubli, Kiulap yang turut melibatkan kebakaran pada sebuah kereta jenis sedan.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), hari ini, sebuah jentera dari Balai Bomba Bandar Seri Begawan yang diketuai oleh DSO Ibrahim bin Haji Omar, dikejarkan ke lokasi kemalangan sekitar jam 2:11 petang. Apabila anggota bomba tiba di tempat kejadian, didapati sebuah kenderaan terbakar yang terlibat dalam kemalangan bersama dua kenderaan lainnya dan anggota bomba segera bertindak memakai alat pernafasan dan memadamkan api dalam masa dua minit. Tidak ada korban jiwa dilaporkan dengan punca serta kerugian masih dalam penyiasatan.
JBP terus menyarankan orang ramai untuk sentiasa meningkatkan pengetahuan mengenai keselamatan kebakaran kereta dan menasihatkan mereka untuk mempunyai alat pemadam api jenis debu kering di dalam kereta.
Selain itu, orang ramai juga diingatkan untuk memastikan pemasangan pendawaian bagi peralatan elektrik di kenderaan dilaksanakan oleh pekerja bengkel yang bertauliah supaya pendawaian dibuat itu adalah dengan cara yang betul dan tidak mendatangkan bahaya kebakaran serta bagi kenderaan yang melebihi usia tujuh tahun ke atas dinasihatkan untuk membuat pemeriksaan di bengkel-bengkel yang mahir dan bertauliah.
JBP turut menyatakan bahawa jabatan berkenaan ada menyediakan program-program keselamatan seperti Kursus Marshal Bomba, Kursus Life Saver 995 dan Taklimat Keselamatan Kebakaran bagi mengetahui aspek-aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara yang betul bagi penggunaan alat pemadam api.
Orang ramai turut disaran-kan bahawa jika berlaku sebarang insiden kecemasan, mereka hendaklah berhubung terus ke talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.
