HAIFA, ISRAEL, 15 SEPT – Lionel Messi, Kylian Mbappe dan Neymar semuanya menjaringkan gol ketika Paris Saint-Germain bangkit daripada ketinggalan untuk menang 3-1 di Maccabi Haifa pada Rabu dan mencatatkan dua kemenangan daripada dua perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.
Tjaronn Chery memberikan Haifa pendahuluan mengejut namun Messi menyamakan kedudukan sebelum rehat dengan menjaringkan gol untuk musim ke-18 berturut-turut dalam Liga Juara-Juara.
PSG mengalahkan pasukan tuan rumah yang mengagumkan dengan prestasi yang lebih baik dalam setengah jam terakhir apabila Mbappe dan Neymar menghancurkan harapan mereka.
“Kami perlu meningkatkannya. Kami perlu berusaha keras,” kata Mbappe kepada Canal Plus.
Kelab yang disokong Qatar itu kini berada di kedudukkan teratas Kumpulan H dengan gol yang dijaringkan untuk mengatasi Benfica, yang menang 2-1 di Juventus.
Haifa mengancam pertahanan PSG yang goyah sepanjang perlawanan, tetapi kelab gergasi Ligue 1 itu melepasi ujian itu hasil kerja keras tiga penyerang mereka.
“Hakikat bahawa kami bertiga boleh membuat perbezaan dalam permainan adalah satu kelebihan untuk kami,” tambah Mbappe. “Saya harap kami bertiga terus menjaringkan gol kerana ia bermakna buat kami untuk memenangi perlawanan.”
Paris, yang masih mencari kejuaraan Liga Juara-Juara sulung, bermain perlawanan di tempat sendiri dan di tempat lawan menentang Benfica dengan mengetahui bahawa dua kemenangan akan memastikan tempat ke pusingan kalah mati.
PSG boleh mendahului dalam masa 70 saat apabila Mbappe menerjah masuk ke dalam kotak, hanya untuk melihat usahanya dihalang oleh penjaga gol tuan rumah Josh Cohen. – AFP
