Tiga bot nelayan disyaki langgar syarat lesen perikanan ditahan

LAHAD DATU, 1 April – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Lahad Datu menahan tiga bot nelayan disyaki melanggar syarat lesen perikanan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di bawah jarak tiga batu nautika dari daratan pagi semalam.

Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Lahad Datu, Leftenan Maritim Muhammad Zarif Mat Yunus berkata kira-kira pukul 10:22 pagi semalam, bot peronda APMM mengesan dan menahan tiga bot nelayan semasa sedang menangkap ikan di kedudukan kira-kira 0.6 batu nautika utara Pulau Kerok, Lahad Datu.

Turut ditahan lima kru bot terbabit warga Filipina termasuk tiga tekong warga tempatan berumur 21 hingga 53 tahun.

“Semasa pemeriksaan, tekong-tekong bot mengemukakan lesen bot dan dokumen pengenalan diri yang sah berserta dokumen awak-awak.

“Bot-bot tersebut dibawa ke Jeti Perikanan Lahad Datu untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Zarif berkata kesalahan di bawah akta itu membawa kompaun maksima RM1,000 jika sabit kesalahan.

Beliau menegaskan APMM akan terus menggandakan usaha bagi mencegah berlakunya sebarang kejadian di laut dan mengekang pencerobohan bot nelayan asing terutama di perairan Sabah daripada menghantui komuniti maritim setempat. – Bernama