Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mei – Tiga buah buku hasil karya Haji Mohsin bin Haji Abu Bakar berjudul Perahu Jumpong, Perahu Bidar Nostalgia Tahun 1950-an, Derita di Pangkal Jalan dan Sumbangsih II Cerita Rakyat dilancarkan dalam majlis yang berlangsung di Hotel Jeruton, Jerudong, di sini, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya melancarkan tiga buah buku tersebut ialah Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad bin Haji Daud.
Haji Mohsin atau lebih dikenali dengan nama penanya H.Mohab / MB Kelana dalam ucapannya alu-aluannya menjelaskan, buku-buku yang dilancarkan itu adalah berlatar belakangkan masa permulaan kedatangan residen ke negara ini hingga ke era kemerdekaan.
“Penulis mengimbas kembali beberapa persoalan tentang kehidupan kita dari semasa ke semasa. Cara hidup, cara berfikir dan sikap serta pandangan terhadap sosial budaya sesuai dengan keadaan masa itu serta kemudahan-kemudahan yang diterima berbanding dengan masa kini,” jelasnya.

Beliau seterusnya berkata, buku Perahu Jumpong, Perahu Bidar Nostalgia Tahun 1950-an adalah khusus untuk warga Kampung Lurong Dalam yang kini telah terpisah dengan membawa kehidupan masing-masing.
“Buku Derita di Pangkal Jalan merupakan sebuah buku bacaan umum. Mudah-mudahan dengan kehadiran buku-buku ini ke pangkuan biskita akan membawa inspirasi dan kesedaran melalui perutusan yang dibawa terutama buku Derita Di Pangkal Jalan,” ujarnya.
Dalam bukunya itu, beliau menyentuh perubahan yang berlaku dan dialami oleh penduduk di negara ini seperti perkembangan ekonomi dan sosial terutama kesedaran ibu bapa dalam bidang pendidikan kerana pendidikan memainkan peranan penting dalam membangun negara sehingga berjaya mencapai kemerdekaan pada tahun 1984. Majlis pelancaran juga diteruskan dengan Majlis Doa Arwah sempena bulan Syaaban.