Tiga bulan penjara akibat pukul tukang jahit

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Mahkamah Tinggi di sini, baru-baru ini, telah menolak rayuan dikemukakan oleh pesalah serangan untuk mendapatkan masa tambahan bagi menyelesaikan denda yang dikenakan terhadapnya.

Minnurul Azri bin Haji Mohaini menjalani hukuman penjara tiga bulan selepas gagal membayar denda $3,000 yang dijatuhkan berikutan pengakuan bersalah pada 12 Jun lalu atas pertuduhan menyerang seorang tukang jahit selepas dia enggan menukar pakaian Cara Melayu anaknya untuk Hari Raya.

Ketua Hakim Negara, Dato Seri Paduka Steven Chong tidak melihat sebarang merit dalam rayuan Minnurul bagi ansuran bulanan sebanyak $100 untuk menjelaskan dendanya.

Mahkamah setuju dengan pertimbangan majistret yang menjatuhkan hukuman ke atasnya dengan menyatakan bahawa mereka yang bekerja dalam industri perkhidmatan berhak mendapat perlindungan undang-undang dan sebarang tindakan keganasan yang dilakukan terhadap mereka tidak akan diterima oleh mahkamah.

Pendakwa Raya, Syafina Abdul Hadzid mewakili pendakwa raya sebagai responden dalam permohonan rayuan tersebut.

Beliau turut mengemukakan pendakwaan kes itu di Mahkamah Majistret mendedahkan bahawa defendan pergi ke kedai tukang jahit di Rimba pada 25 April dan meminta mangsa berusia 25 tahun menukar Cara Melayu anaknya. Tukang jahit itu berkata mereka sibuk dan tidak lagi dapat menerima permintaan baharu. 

Mendengar perkara itu, defendan menampar mangsa dan mencengkam lehernya, manakala itu, seorang lagi tukang jahit menerima permintaan defendan. Mangsa membuat laporan polis pada hari sama yang menyebabkan siasatan dijalankan. Perbuatan defendan juga telah dirakam menerusi CCTV.