Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan PPDB
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JAN – Seorang wanita warga tempatan, 37, dan seorang wanita warga asing, 47, serta seorang lelaki warga asing, 47, telah berjaya diberkas oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti tidak bermoral.
Tangkapan berkenaan dibuat semasa serbuan di dua bilik sewa berasingan di Kampung Beribi kira-kira 2:42 petang kelmarin oleh pegawai dan anggota Unit Siasatan Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah, PPDB.
Menurut kenyataan PPDB, kedua-dua suspek wanita berkenaan dipercayai terlibat
dalam menawarkan khidmat seks manakala itu, suspek lelaki dipercayai terlibat kerana membayar untuk perkhidmatan seks berkenaan.
Hasil daripada pemeriksaan juga telah menemukan dan merampas beberapa barangan bukti seperti telefon bimbit, kepingan kondom dan wang tunai di lokasi yang dipercayai untuk tujuan aktiviti tersebut.
Kesemua suspek yang ditahan segera dibawa bagi menjalani ujian saringan COVID-19 dan seterusnya disiasat di bawah Seksyen 294A kesalahan menawarkan khidmat seks dan 294B kesalahan membayar untuk perkhidmatan seksual, Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22.
Orang ramai sekali lagi ditekankan bahawa kegiatan yang tidak bermoral atau memberikan khidmat seks adalah menyalahi undang-undang di negara ini dan jika sesiapa mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan atau aktiviti yang mencurigakan agar melaporkan ke talian kecemasan 993 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.