Tiga disahkan positif di Cologne, jejas harapan Bundesliga

BERLIN, 3 MEI – Tiga orang telah disahkan positif mengidap COVID-19 di Cologne dan akan dimasukkan dalam senarai kuarantin selama 14 hari, kata kelab Bundesliga pada hari Jumaat ketika mereka berharap untuk memulakan semula musim bola sepak Jerman bulan ini.

“Pemain Cologne serta seluruh pasukan dan jurulatih, bersama dengan kakitangan lain, diberikan ujian saringan COVID-19 pada hari Khamis.

Tiga orang disahkan diuji positif, semuanya tiada mempunyai simptom gejala,” kata kelab itu dalam satu kenyataan di laman webnya.

“Setelah penilaian kes oleh pihak kesihatan yang bertanggungjawab, ketiga-tiga orang yang didapati positif akan menjalani kuarantin selama 14 hari di rumah masing-masing.

“Cologne tidak akan mengesahkan nama mereka sebagai menghormati privasi mereka agar tidak menjejaskan nama baik mereka.”

Kelab itu mengatakan akan terus berlatih sebagai sebahagian daripada rancangan untuk meneruskan kempen.

Bundesliga telah mene-tapkan tarikh kembali menyambung semula musim mereka pada 9 Mei tetapi masih memerlukan kebenaran daripada kerajaan Jerman.

Kelewatan keputusan minggu ini bermaksud penyambungan semula tidak mungkin dilakukan sebelum 16 Mei.

Liga Jerman mengesahkan pada hari Khamis bahawa kelab telah mula menguji pemain untuk virus itu sebagai sebahagian daripada rancangan untuk menghidupkan kembali musim ini sejak ia ditangguhkan pada 13 Mac lalu. – AFP