Tiga disahkan positif di Pusat Vaksinasi Stadium Tertutup

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Tiga orang didapati positif semasa ujian saringan dijalankan di Pusat Vaksinasi Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, hari ini.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengumumkan penemuan tersebut semasa disoal mengenai berapa ramai yang didapati positif semasa Kementerian Kesihatan mengambil kesempatan untuk melakukan ujian saringan besar-besaran ketika orang ramai didapati berduyun-duyun ke pusat itu, petang ini.

Yang Berhormat Dato menyatakan program vaksinasi dibukakan secara jumpa terus (walk in) setiap hari Jumaat di pusat itu khusus untuk mereka yang tidak mempunyai aplikasi BruHealth jadi Kementerian Kesihatan mengambil langkah dengan membuat ujian saringan swab kepada mereka yang hadir.

Ujian saringan yang dilakukan itu merupakan salah satu langkah untuk mengambil peluang ujian saringan dengan adanya banyak warga asing di sana.

Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan, pihak kementerian telah menyediakan 5,000 PC-ART untuk ujian saringan bagi mereka yang datang untuk mendapatkan vaksinasi secara walk in saja.

“Bagi mereka yang didapati positif melalui ujian saringan mereka, pihak kementerian akan membuat ujian PCR untuk mendapatkan keputusan yang lebih tepat dan setakat ini, didapati tiga orang yang walk in telah disahkan positif,” jelasnya.

Orang ramai dilihat berduyun-duyun ke Pusat Vaksinasi Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah kelmarin. – Gambar oleh Bahyiah Bakir