Tiga ditahan bawa barang tegahan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita penduduk tempatan, yang dipercayai membawa barang tegahan di kawasan Jalan Junjongan, Kampung Lumapas, semasa sekatan jalan raya yang dijalankan di kawasan berkenaan.

Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan yang mereka naiki, pihak PPDB telah menemukan perkakas yang dipercayai digunakan untuk menghisap dadah.

Dengan penahanan dan penemuan tersebut, kes telah diserahkan kepada pihak Biro Kawalan Narkotik (BKN) untuk penyiasatan lanjut.

Sekatan jalan raya yang dijalankan oleh PPDB melalui Jabatan Siasatan Kawalan dan Lalu Lintas (JSKLL) adalah bagi memastikan para pengguna jalan raya patuh dan mengikuti peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

Selain itu, ia adalah untuk menjalankan tugas pemantauan, mencegah malah mengesan sebarang perilaku yang melanggar undang-undang di negara ini.

Pihak PPDB melalui JSKLL akan sentiasa berusaha dalam menanai serta melaksanakan tugasan yang telah dipertanggungjawabkan demi memastikan penduduk negara ini celik dan peka terhadap keselamatan di jalan raya.

Peralatan untuk mengambil dadah yang ditemui oleh PPDB semasa sekatan jalan raya di kawasan Jalan Junjongan, Kampung Lumapas. – Gambar serahan PPDB