Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Tiga ditahan, pelbagai barang tegahan dirampas

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 APRIL – Sebanyak 1,584 tin dan 72 botol minuman keras, sebuah kereta, sebuah perahu, 12 karton, 44 paket dan 11 batang rokok serta satu bungkusan mengandungi produk kesihatan tanpa kebenaran telah dirampas dalam tiga gerakan operasi dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) di beberapa kawasan di Temburong dan perairan Sungai Teritip baru-baru ini.

    Menurut kenyataan dikeluarkan JKED di sini, pada operasi pertama pada 18 Mac lalu di kawasan Kampung Saba Tengah di Kampong Ayer, JKED telah berjaya menahan dua individu dipercayai terlibat dalam penjualan barang-barang tegahan kastam iaitu seorang perempuan warga Indonesia dan seorang lelaki warganegara tempatan yang berumur 35 dan 52 tahun.

    Hasil daripada gerakan berkenaan, telah berjaya merampas 12 karton dan 431 paket rokok pelbagai jenis.

    Manakala dalam operasi kedua pada 29 Mac, anggota penguat kuasa menahan kereta yang dipercayai digunakan untuk memunggah barang tegahan kastam melalui kawasan penurunan perahu di Daerah Temburong dan berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun.

    Sebanyak 960 tin minuman keras pelbagai jenis, satu paket dan 11 batang rokok serta sebuah kereta yang digunakan untuk memunggah dan mengangkat barang-barang tegahan telah dirampas. Tahanan merupakan pengawal keselamatan di salah sebuah syarikat pengawal keselamatan di negara ini.

    Dalam operasi ketiga pada 30 Mac pula, sebanyak 624 tin dan 72 botol minuman keras pelbagai jenis, satu bungkusan yang mengandungi produk kesihatan tanpa kebenaran dan sebuah perahu berukuran 15 kaki enjin 40hp jenama Yamaha telah berjaya dirampas di perairan Sungai Teritip.

    Semua barangan tegahan telah dirampas dan individu terlibat telah dibawa ke Pejabat Penguat kuasa Undang-undang untuk siasatan lanjut.

    Antara barang tegahan yang dirampas dalam salah satu operasi yang dijalankan. – Gambar serahan JKED
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...