Tiga ditahan tanam 54 pokok ganja

GEORGE TOWN, 12 DIS – Dua lelaki dan seorang wanita ditahan di sebuah kondominium mewah di Mont Kiara, Kuala Lumpur Isnin lalu, selepas didapati menanam pokok ganja dalam rumah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata ketiga-tiga suspek yang berusia dalam lingkungan 24 hingga 32 tahun itu ditahan dalam serbuan polis hasil risikan dan maklumat orang awam.

Katanya, polis merampas 54 pokok ganja setinggi tiga hingga empat kaki, daun ganja seberat 2.6 kilogram dan 48 biji benih ganja dalam serbuan di unit itu yang kesemuanya bernilai kira-kira RM1.21 juta.

“Hasil pemeriksaan mendapati mereka telah melakukan aktiviti menanam itu selama enam bulan dengan menggunakan proses hidroponik, iaitu konsep berkebun tanpa guna tanah dalam unit kediaman tersebut,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata ketiga-tiga suspek direman sehingga Isnin depan untuk siasatan.

Katanya turut disita sebuah kenderaan jenis Toyota Vios bernilai RM45,000 dan siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana menanam ganja dan Seksyen 39B akta sama kerana mengedar dadah. – Bernama

Datuk Mohd Khalil Kader Mohd (dua kanan) menunjukkan pelbagai jenis dadah yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri kelmarin berhubung rampasan dadah bernilai RM2.2 juta dan penahanan seorang lelaki tempatan selepas melakukan dua serbuan di Bukit Tambun pada Selasa lepas. – Bernama