Tiga ditangkap terlibat judi SCR888

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Satu kegiatan perjudian SCR888 di sebuah rumah di kawasan Kampung Pandai Besi telah berjaya dilumpuhkan oleh Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan PPDB, serbuan yang dijalankan telah berhasil menahan dua orang lelaki, masing-masing penduduk tetap berumur 40 tahun dan warga tempatan berumur 25 tahun serta seorang perempuan warganegara tempatan berumur 24 tahun.

Semasa siasatan, beberapa unit komputer dan komputer riba yang mengandungi program perjudian dipercayai digunakan untuk kegiatan SCR888 turut dirampas selain sejumlah wang tunai dan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipercayai digunakan untuk kegiatan tersebut.

Semua tangkapan serta barang-barang bukti dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 4 kesalahan pengendalian tempat perjudian, Akta Rumah Judi Terbuka Penggal 28.

Kegiatan perjudian secara dalam talian sentiasa mendapat perhatian umum dan jika tidak dibanteras akan mendatangkan kesan buruk kepada negara.

Beberapa unit komputer yang digunakan untuk kegiatan perjudian turut dirampas. – Gambar serahan PPDB