Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Tiga ekor ikan lumba-lumba bebas di perairan

    TOKYO – Tiga ekor ikan lumba-lumba hidung botol (bottlenose) dilepaskan ke laut lepas di Indonesia pada Sabtu, selepas bertahun-tahun dikurung untuk menjadi bahan hiburan pelancong yang akan menyentuh dan berenang bersama haiwan tersebut.

    Ketika bendera kebangsaan Indonesia merah dan putih berkibar, pintu bawah air dibuka dari pulau Bali untuk membolehkan Johnny, Rocky dan Rambo berenang bebas.

    Ketiga-tiga ekor ikan lumba itu telah diselamatkan tiga tahun lalu dari kolam kecil di sebuah hotel peranginan, di mana ikan-ikan tersebut telah dijual selepas menghabiskan bertahun-tahun membuat persembahan dalam sarkas kembara.

    Johnny, Rocky dan Rambo kini kembali sihat dan semasa berada di tempat perlindungan Bali, iaitu sebuah kandang terapung di teluk yang menyediakan persekitaran yang lebih lembut dan semula jadi.

    Lincoln O’Barry, yang bekerja dengan kerajaan Indonesia untuk menubuhkan Pusat Pemulihan, Pelepasan dan Perlindungan Umah Lumba, berkata ikan lumba-lumba ialah haiwan liar yang sepatutnya hidup bebas.

    Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia merasmikan pembukaan pintu untuk melepaskan Rocky, Rambo dan Johnny yang diselamatkan kembali ke alam liar. – AP
    Gambar dikeluarkan oleh DolphinProject.com, Rocky berenang di Pusat Pemulihan, Pelepasan dan Persaraan Umah Lumba di Teluk Banyuwedang, Bali Barat, Indonesia. – AP
    Ikan lumba-lumba yang diselamatkan Johnny berenang beberapa saat selepas dibebaskan dari Pusat Pemulihan, Pelepasan dan Perlindungan Umah Lumba. – AP

    “Ia adalah satu pengalaman yang menyayat hati untuk melihat haiwan itu pergi,” kata O’Barrry.

    Pusat itu ditubuhkan pada tahun 2019 oleh Jabatan Perhutanan Bali dan Kementerian Perhutanan Indonesia. ‘Umah lumba’ bermaksud ‘lumba-lumba’ dalam bahasa Indonesia.

    Apabila pintu pagar bawah air dibuka, ikan lumba-lumba hanya mampu melihat bukaan itu dan tidak pasti langkah seterusnya.

    Namun, kira-kira selepas satu jam, ikan lumba-lumba itu membuat perjalanan dan kadang-kadang melompat di atas ombak yang bergelora.

    Pelepasan ikan lumba-lumba itu disaksikan oleh The Assosicated Press melalui penstriman langsung. O’Barry mendokumentasikan pelepasan tersebut dengan menggunakan dron dan rakaman bawah air untuk tujuan filem.

    Juga hadir bagi menyaksikan pelepasan Johny, Rocky dan Rambo ialah Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Siti Nurbaya Bakar yang menyokong usaha menyelamatkan ikan lumba-lumba dengan kerjasama Projek Ikan Lumba-Lumba yang diasaskan oleh ayah Lincoln iaitu Ric O’Barry.

    Ric O’Barry pernah menjadi pelatih ikan lumba-lumba untuk satu rancangan televisyen, Flipper, sekitar tahun 1960. Walau bagaimanapun, beliau menyedari kesan buruk menjadikan haiwan liar itu sebagai bahan hiburan.

    Sejak itu, Ric berusaha untuk mengembalikan ikan lumba-lumba ke tempat asalnya.
    Kakitangan pusat berkenaan bertepuk tangan ketika ikan lumba-lumba berenang keluar.

    Penyelaras pemulihan di pusat itu, Wahyu Lestari berkata dia agak sedih melihat ikan lumba-lumba pergi.

    “Saya gembira ia bebas, dan ia akan kembali kepada keluarganya,” katanya.

    “Mereka sepatutnya berada di alam liar kerana ia dilahirkan di alam liar,” tambahnya.

    Tiga ekor ikan lumba-lumba yang dilepaskan di Indonesia dapat dilihat berada dalam jarak beberapa batu di perairan itu. Tetapi sebelum ia berlepas, ia mengelilingi tempat perlindungan.

    “Ikan lumba-lumba tersebut berpatah balik dan kembali kepada kami sekali lagi, seolah-olah mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal. Kemudian ia terus keluar ke lautan terbuka dan hilang,” kata Lincoln O’Barry.

    “Ke mana ia pergi seterusnya, kita tidak tahu. Tapi kami doakan mereka panjang umur.”
    Ikan lumba-lumba yang dibebaskan akan dipantau di laut dengan pengesanan GPS selama setahun.

    Haiwan liar itu boleh kembali untuk melawat tempat perlindungan, walaupun tidak jelas apa yang ia akan lakukan.

    Ikan lumba-lumba tersebut mungkin menyertai kumpulan ikan lumba-lumba yang lain, kekal bersama atau pergi ke haluan masing-masing.

    Johnny, ikan lumba-lumba tertua, mempunyai gigi yang lusuh hingga ke bawah garis gusi semasa dia diselamatkan pada tahun 2019. Pada awal tahun ini, doktor gigi memberinya gigi gaya lumba-lumba agar ia boleh memakan ikan hidup.

    Johnny adalah yang pertama daripada tiga ikan lumba-lumba berenang ke laut.

    Ric dan Lincoln O’Barry telah menghabiskan masa setengah abad bekerja untuk menyelamatkan ikan lumba-lumba daripada kurungan di lokasi dari Brazil ke Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS). Pelepasan pada Sabtu lepas adalah yang pertama di Indonesia.

    Lincoln O’Barry berkata, tempat perlindungan di Indonesia akan terus digunakan untuk ikan lumba-lumba tawanan lain. Beberapa buah negara di Amerika Utara, Eropah juga sedang giat menubuhkan tempat perlindungan di tengah-tengah banyak penutupan pertunjukan haiwan liat berkenaan berikutan bantahan daripada orang ramai agar ikan lumba-lumba diselamatkan dari kepupuasan.

    Pertunjukan ikan lumba-lumba masih popular di China, Timur Tengah dan Jepun. Daging ikan paus dan ikan lumba-lumba dianggap sebagai makanan istimewa dalam tradisi masakan Jepun.

    Dengan adanya teknologi moden seperti realiti maya, penghargaan terhadap alam semula jadi tidak perlu melibatkan zoo atau pertunjukan ikan lumba-lumba, katanya. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...